AM > BERITA

Dua Nelayan Melecur Bot Meletup, Terbakar

18/10/2024 05:17 PM

KANGAR, 18 Okt (Bernama) -- Dua nelayan melecur dengan seorang daripadanya hingga 90 peratus selepas bot gentian yang diperiksa untuk turun ke laut meletup dan terbakar di pelantar ikan di Kampung Tanah Baru, Kuala Perlis, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata pihaknya menerima laporan kejadian menimpa Mohamad Bakri Idham, 54, dan Nur Azman Sabu, 45, pada 11.55 malam.

Beliau berkata Mohamad Bakri yang melecur hingga 90 peratus dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini manakala Nur Azman yang melecur 45 peratus turut dirawat di hospital sama, dilaporkan stabil.

"Sebelum bertolak ke laut, mangsa melakukan pemeriksaan termasuk terhadap minyak, bateri dan kelengkapan lain pada bot, namun apabila mangsa membuka penutup ruangan tempat simpan bateri, tiba-tiba berlaku letupan sehingga mengakibatkan kebakaran pada bot itu.

"Api telah menyambar kedua-dua mangsa namun mereka sempat diselamatkan oleh orang kampung yang turut berada di kawasan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis Penguasa Kanan Bomba I Mohd Zaidi Ma’at berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian pada 11.56 malam.

Beliau berkata kebakaran berjaya dikawal pada 12.37 tengah malam manakala operasi pemadaman tamat pada 12.50 tengah malam.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan