AM > BERITA

PKPS, HMA Agro industries Jalin Kerjasama Bekal Daging Sejuk Beku 

18/10/2024 07:50 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan HMA Agro Industries Limited bertujuan meningkatkan rantaian bekalan pertanian di Selangor selain memastikan ketersediaan makanan berkualiti tinggi dan mampu milik untuk penduduk negeri itu.

HMA Agro Industries Limited ialah satu daripada pengeksport produk daging sejuk beku terkemuka di India.

Di bawah perjanjian itu, HMA Agro Industries ini akan membekalkan 8,400 tan daging sejuk beku sebulan bernilai RM135 juta untuk diedarkan di seluruh Selangor sekali gus menyumbang kepada sumber bekalan produk daging berkualiti. 

Dalam ucapan pada majlis menandatangani perjanjian itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerjasama berkenaan memperlihatkan komitmen kerajaan negeri untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi dalam sektor agromakanan.

"Kita bukan sahaja mengukuhkan sistem rantaian bekalan tetapi juga meningkatkan keselamatan makanan dan kemampuan untuk mendapatkan bekalan. Kerjasama ini akan memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat Selangor terutama golongan memerlukan dengan mengurangkan kos dan menambah baik akses kepada barangan keperluan," katanya.

MoU itu dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi dan Pengarah Kumpulan HMA dari India Gulzeb Ahmad di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Amirudin juga menyentuh mengenai kepentingan mengurangkan kebergantungan import dan memastikan kawalan kos demi kepentingan golongan B40 yakni kumpulan demografi yang akan mendapat manfaat secara langsung daripada inisiatif ini.

Bersempena dengan majlis menandatangani MoU itu, PKPS turut melancarkan Duta Jenama Ehsan PKPS yang bertujuan memperkukuh dan memperluas jangkauan jenama ini yang menjadi tumpuan utama usaha dalam meningkatkan keselamatan makanan tempatan melalui produk mampu milik.

Dr Mohamad Khairil gembira dengan kolaborasi itu dan optimis bahawa kesepakatan ini akan mengukuhkan lagi jenama Ehsan pada masa hadapan. 

“Pengenalan duta jenama akan mengukuhkan usaha menjadikan Ehsan sebagai jenama dipercayai dalam kalangan isi rumah di Selangor. Kami yakin kerjasama seperti ini membantu untuk terus berkembang dan memperkukuh ekosistem pertanian di Selangor,” katanya.

Dr Mohamad Khairil berkata watak 'Ehsan' daripada siri animasi popular Upin & Ipin dipilih sebagai duta jenama produk Ehsan PKPS.

“Pemilihan watak itu kerana kedua-duanya sangat disayangi oleh rakyat - Ehsan satu pilihan yang dekat di hati rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan