AM > BERITA

Ahli Parlimen Pembangkang Akui Inisiatif Baik Dalam Bajet 2025

18/10/2024 10:05 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan mengakui Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan hari ini, mengandungi inisiatif yang baik.

Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu berkata antara inisiatif tersebut ialah insentif pelepasan cukai kepada pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

"Ada beberapa inisiatif yang diumumkan yang perlu kita iktiraf bahawa ia adalah inisiatif yang baik. Contohnya, saya amat berminat dengan insentif yang diumumkan terhadap keluarga yang mempunyai anak autistik. Ini sudah lama ditimbulkan oleh mereka yang mempunyai anak autistik dan bantuan yang diumumkan adalah baik.

"Pada masa sama, ada bantuan lain yang saya rasa perkara baik seperti insentif pelepasan cukai diberikan untuk SSPN," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Sementara itu,  seorang lagi Ahli Parlimen pembangkang mewakili PN dari Putrajaya Datuk Dr Radzi Jidin meminta kerajaan memberikan perincian lebih jelas berhubung kerangka ekonomi yang akan difokuskan bagi 2025.

Sebagai contoh, beliau berkata kerajaan perlu memberikan penjelasan lanjut tentang mekanisme pelaksanaan penyasaran semula subsidi.

“Apabila berlaku penyasaran subsidi, bagaimana ianya memberi kesan kepada kos kehidupan rakyat dan bagaimana perkara ini hendak ditangani dengan lebih komprehensif,” katanya.

Belanjawan 2025 yang diumumkan Perdana Menteri melibatkan peruntukan RM421 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah diumumkan dengan RM335 bilion adalah untuk belanja mengurus, RM86 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, tidak termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan