AM > BERITA

Program Peluang Kedua Jabatan Penjara Diteruskan, Dapat Peruntukan RM10 Juta

19/10/2024 12:54 AM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Kerajaan meneruskan Program Peluang Kedua Anda (PEKA) oleh Jabatan Penjara dengan peruntukan RM10 juta dalam Belanjawan 2025, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Rakyat hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Agensi Antidadah Kebangsaan turut dilibatkan sesuai dengan keputusan yang disepakati iaitu untuk menyahjenayah penagih dadah.

Beliau berkata Program Baitul Mahabbah juga akan diteruskan oleh Jabatan Imigresen dengan kerjasama badan bukan kerajaan dan pertubuhan antarabangsa yang berkaitan.

“Ini bagi memastikan kanak-kanak warga asing mendapat perlindungan di tempat sementara yang sesuai selain Depot Tahanan Imigresen,” katanya. 

Perdana Menteri berkata kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.

“Pesalah dikehendaki berada di tempat tahanan yang dianggap bersesuaian seperti rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan dengan syarat-syarat ditetapkan dan dipantau oleh Pegawai Penjara,” katanya. 

Beliau berkata Dasar Peluang Kedua, yang memberi manfaat kepada lebih 170,000 rakyat diisytihar muflis untuk membina semula kehidupan, kini diperluas kepada syarikat yang telah dibankrapkan.

Anwar juga berkata peruntukan kepada masyarakat Orang Asli dinaikkan kepada hampir RM380 juta berbanding RM330 juta antaranya untuk meningkatkan taraf hidup mereka menerusi projek pembangunan semula ladang Orang Asli seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan