AM > BERITA

MINDEF, KDN Diperuntuk Rm40.7 bilion Perkukuh Keselamatan Negara - PM Anwar

19/10/2024 01:14 AM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Kementerian Pertahanan menerima peruntukan sebanyak RM21.2 bilion iaitu peningkatan RM1.4 bilion berbanding tahun ini manakala Kementerian Dalam Negeri mendapat peruntukan RM19.5 bilion iaitu pertambahan RM500 juta, bagi Belanjawan 2025.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan terus memastikan kesiagaan penuh Angkatan Tentera Malaysia dengan RM5.8 bilion dikhususkan untuk kerja-kerja menyenggara dan pembaikan serta perolehan aset ketenteraan baharu.

“Bagi memanfaatkan kontrak senggara, program baharu PROTEGE - Veteran akan diperkenalkan khusus untuk mewajibkan kontraktor menyediakan peluang pekerjaan untuk veteran ATM, terutamanya yang punyai kelayakan TVET,” katanya ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Rakyat hari ini,

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata tumpuan khusus turut diberikan untuk membangunkan industri ketenteraan tempatan menerusi pemindahan teknologi daripada pembekal aset ketenteraan dan menggalakkan pemain industri tempatan menembusi pasaran eksport.

“Sebagai contoh, syarikat tempatan Aerodyne yang muncul sebagai penyedia perkhidmatan dron utama dunia wajar disokong untuk mengeksport aplikasi keselamatan kawalan sempadan,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata lebih RM2.12 bilion peruntukan aset khusus untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi beruniform di bawah KDN bagi menjamin keselamatan dalam negeri melalui usaha bersepadu membendung peningkatan kes jenayah selain mengekang anasir permusuhan yang memecahbelahkan rakyat.

“Selain itu, beberapa pejabat polis baharu akan dibina tahun hadapan dengan kos RM2.1 bilion antaranya melibatkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dan Balai Polis Tanjung Minyak, Melaka,” katanya.

Berhubung isu Laut China Selatan, Anwar berkata perkara itu perlu diselesaikan di meja rundingan dan Malaysia kekal dengan pendirian bahawa isu itu boleh ditangani secara aman, namun ia tidak bermakna kerajaan bertoleransi dengan hak dan kedaulatan negara.

“Aset-aset perairan akan ditambah dan diselenggara merangkumi perolehan baharu di bawah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia iaitu enam kapal di bawah Ship Life Extension Programme Fasa 2, sebuah kapal Multi Purpose Mission Ship dan dua Kapal Ronda Generasi Baharu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan