AM > BERITA

Penduduk Kg Kunci Air 4 Bantu Mangsa Banjir Pindahkan Barang Berharga

19/10/2024 08:49 AM

TELUK INTAN, 18 Okt (Bernama) --  Inisiatif sekumpulan penduduk Kampung Kunci Air 4, Labu Kubong di sini membantu penduduk di kampung jiran yang dilanda banjir dengan menyelamatkan barangan kelengkapan rumah daripada musnah akibat bencana itu patut dipuji.

Lebih 30 penduduk kampung itu daripada bergotong-royong menggunakan kenderaan masing-masing membantu memindahkan barangan terutama peralatan elektrik dari rumah yang dinaiki air ke sebuah dewan berhampiran.

Wakil penduduk, Badrul Hisham Idris, 45, berkata inisiatif itu tercetus apabila melihat kebanyakan barangan elektrik seperti mesin basuh dan peti sejuk rosak dan terpaksa dibuang setiap kali berlaku banjir menyebabkan kerugian kepada pemiliknya.

Dia berkata walaupun kampungnya tidak dinaiki air tetapi tetap bersimpati dengan nasib yang menimpa kampung jiran terutama Kampung Parit 11 dan Parit 12, kawasan paling teruk terjejas banjir dan berusaha membantu mereka. 

"Saya mengambil cuti hari ini untuk bersama penduduk lain meninjau rumah di kampung jiran yang di landa banjir dan membantu memindahkan barangan elektrik yang masih sempat diselamatkan.

“Kita angkat barang tersebut dan letak di tepi jalan sebelum mereka yang mempunyai kenderaan menghantarnya ke dewan berhampiran, tempat yang lebih selamat, " katanya ketika ditemui di sini hari ini. 

Sementara itu, Mohd Zaini Yahya, 33, pula berkata dia dimaklumkan terdapat penduduk yang terjejas memerlukan bantuan untuk memindahkan barangan mereka selepas air mula memasuki rumah awal pagi ini. 

Dia yang memiliki kenderaan pacuan empat roda, menggunakan kenderaan tersebut untuk berulang-alik membantu mengangkut barangan elektrik dan barangan penting lain dari rumah penduduk yang terjejas ke dewan Arena Square Kunci Air 4.

"Saya anggap ini kerja amal untuk membantu penduduk kampung jiran kerana simpati kepada nasib mereka. Kita akan teruskan aktiviti ini selagi diperlukan," katanya. 

Kampung Parit 11 dan Parit 12 adalah antara kawasan terjejas teruk di daerah Hilir Perak akibat banjir disebabkan hujan lebat dan fenomena air pasang besar yang dijangka berterusan hingga 21 Okt ini. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan