AM > BERITA

14 NADI Baharu Di Sabah Siap Hujung Tahun Ini - Fahmi

19/10/2024 04:10 PM

KOTA KINABALU, 19 Okt (Bernama) -- Sebanyak 14 lagi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Sabah bakal siap menjelang hujung tahun ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata Sabah kini mempunyai 115 NADI, yang menyediakan pelbagai program seperti eKelas dikendalikan oleh penyedia perkhidmatan komunikasi Maxis Berhad untuk memastikan anak-anak mengulang kaji ataupun terlibat dalam pembelajaran Sains dan Teknologi.

“NADI juga akan melaksanakan program di luar pusat itu bagi memanfaatkan lebih ramai masyarakat setempat. Tujuannya adalah memastikan agar bukan hanya komuniti di sekitar NADI akan dapat manfaat daripada program dilaksanakan tetapi juga komuniti yang lebih luas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak NADI di Kampung Warisan Menggatal, dekat sini hari ini.

Fahmi berkata ada beberapa lagi usaha akan NADI laksanakan dengan fokus utama kepada aspek manfaat ekonomi digital selain memberi pemahaman terhadap semua program bantuan yang dilaksanakan oleh kerajaan. 

“Hal itu termasuk semua manfaat yang telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2025 semalam ,” katanya.

NADI merupakan projek kerajaan dengan inisiatif yang diwujudkan pada 2013 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Projek ini dilaksanakan dalam pembentangan Belanjawan 2013 di bawah Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) dengan matlamat merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat luar bandar dan bandar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan