BERITA TERGEMPAR   PM Anwar arrives in Jakarta to attend Indonesian presidential inauguration | 
 AM > BERITA

Belanjawan 2025: Peruntukan Khas Sabah, Sarawak Bukti Komitmen Kerajaan Persekutuan

19/10/2024 08:08 PM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Peningkatan peruntukan khas untuk Sarawak daripada RM300 juta kepada RM600 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 menunjukkan komitmen dan kesungguhan kerajaan Persekutuan dalam membantu pembangunan sektor penting di Sarawak.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata berkata meskipun jumlah tersebut kurang berbanding Sabah, kerajaan negeri berterima kasih atas peruntukan berkenaan.

“Walaupun kurang daripada Sabah, tidak apa. Sekurang-kurangnya kita ada bantuan daripada kerajaan (Persekutuan) untuk pembangunan negeri ini,” katanya ketika ditemui pada program Lan Berambeh di sini hari ini.

Dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam, peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak terus diberikan keutamaan apabila menjadi antara yang tertinggi bagi negeri-negeri iaitu masing-masing RM6.7 bilion dan RM5.9 bilion.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan turut bercadang untuk menaikkan kadar Pemberian Khas Sarawak dan Sabah sekali ganda iaitu kepada RM600 juta pada tahun hadapan, selain memaklumkan Pemberian Khas Sarawak tidak pernah dikaji sejak 1969.

Sementara itu, pada program Lan Berambah yang diadakan selama tiga hari bermula semalam di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, Abang Johari turut menyampaikan biasiswa kepada penerima Yayasan Sarawak Tun Taib dan Yayasan Biasiswa Tunku Abdul Rahman bagi sesi 2024/2025. 

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian. 

Terdahulu dalam sesi dialog sempena program itu, Abang Johari berkata kira-kira 25,000 pelajar Sarawak yang belajar di institusi pengajian tinggi di seluruh negara bakal menerima wang saku daripada kerajaan negeri.

Beliau berkata mereka yang mempunyai kad pengenalan Sarawak yang sah dengan tanda ‘K’ layak untuk menerima bantuan itu.

“Jumlahnya akan diumumkan dalam Belanjawan Sarawak 2025 yang akan dibentangkan bulan depan. Alhamdulillah, hasil negeri terus meningkat setiap tahun dan kami berusaha keras untuk menjana dana yang dapat dikembalikan kepada rakyat Sarawak.

“Kerajaan memahami banyak pelajar yang belajar di luar Sarawak menghadapi kos hidup yang tinggi dan bantuan ini adalah untuk membantu mereka meringankan beban tersebut,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan