AM > BERITA

Rakan KKM Tingkat Penyampaian Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan

19/10/2024 11:10 PM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Inisiatif Rakan KKM (Kementerian Kesihatan) bertujuan meningkatkan penyampaian perkhidmatan, memastikan penjagaan kesihatan yang saksama dan menangani kemampanan kewangan sistem penjagaan kesihatan awam di Malaysia.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata Rakan KKM akan mengutamakan kemampanan dan kebolehcapaian untuk semua rakyat Malaysia.

"Langkah pertama dalam agenda reformasi saya ialah mengubah pembiayaan kesihatan. Inisiatif ini direka untuk menjadikan sistem lebih mampan dan inovatif sambil menyampaikan hasil kesihatan yang lebih baik, penjagaan pesakit dan pengurusan kesihatan awam yang lebih bagus," katanya pada program The Nation terbitan Bernama TV hari ini.

Dzulkefly turut menekankan keperluan untuk sistem pembiayaan kesihatan berasaskan cukai bagi menyepadukan fasiliti kesihatan swasta dalam hospital awam, yang boleh merangkumi sayap pesakit bayar penuh untuk menjana pendapatan tambahan.

"Pendapatan yang dijana daripada inisiatif ini akan meningkatkan pembayaran bagi profesional penjagaan kesihatan termasuk pakar dan jururawat, dan menggalakkan rangka kerja fleksibel untuk meningkatkan kepuasan kerja dan mengekalkan bakat dalam sistem penjagaan kesihatan awam," katanya.

Beliau berkata Rakan KKM akan menawarkan perkhidmatan "ekonomi premium MADANI" kepada mereka yang sanggup membayar untuk penjagaan yang dinaik taraf sambil memastikan kumpulan B40 terus mendapat akses kepada penjagaan kesihatan yang mampu milik.

"Inisiatif ini akan memberi tumpuan kepada membangunkan kerjasama dengan pelabur swasta dan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) untuk meluaskan dan menambah baik infrastruktur penjagaan kesihatan sambil memastikan kemampuan kekal menjadi keutamaan kepada penduduk berpendapatan rendah," katanya.

Beliau berkata inisiatif ini juga bukanlah satu langkah ke arah penswastaan, tetapi lebih kepada kerjasama strategik bertujuan meningkatkan taraf penjagaan kesihatan awam.

"Kuncinya ialah kekal inklusif. Kami mahu memastikan setiap rakyat Malaysia, tidak kira status ekonomi, mempunyai akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti. Pada masa sama, kami meneroka model kewangan baharu untuk memastikan kemampanan sistem," katanya.

Sebelum ini, Dzulkefly dilaporkan berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memperluas sayap persendirian di hospital kerajaan bagi menjana pendapatan.

Beliau berkata cadangan itu termasuk mewujudkan perkhidmatan pesakit bayar penuh (PPBP) dalam hospital awam sebagai usaha meningkatkan pendapatan dengan menawarkan perkhidmatan swasta melalui infrastruktur sedia ada.

Pada masa ini, PPBP terdapat di 19 hospital KKM, menyediakan pesakit akses kepada doktor pakar dan wad kelas pertama pada kadar yang kompetitif, namun perkhidmatan itu mengalami kekangan sumber, pakar dan kemudahan yang terhad.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat semalam berkata inisiatif Rakan KKM akan diperkenalkan, melibatkan kerjasama GLC untuk menyediakan pilihan perkhidmatan kesihatan berbayar pada kadar berpatutan kepada pesakit, sebagai usaha memastikan sistem perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih berdaya tahan, mampan dan berdikari.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan