AM > BERITA

Perkhidmatan Statistik Bertindak Pemprofail Kenal Pasti Isu Dalam Satu Kawasan

20/10/2024 02:45 PM

SABAK BERNAM, 19 Okt (Bernama) -- Perkhidmatan statistik mampu bertindak sebagai pemprofail dalam mengenal pasti maklumat dan isu yang berlaku di sesuatu kawasan, kata Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Susulan itu, Mohd Uzir berkata pendekatan tersebut merupakan antara kaedah yang akan dibawa Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni) MADAN dalam usaha menggerakkan sosioekonomi penduduk di Kampung Baharu di sini. 

Beliau berkata dengan mengetahui apa yang berlaku di sesuatu kampung itu, ia akan menarik lebih banyak pihak dan individu untuk bekerjasama membangunkan kawasan kerana data berkaitan ada dalam pengetahuan mereka.

“Menerusi Program Santuni MADANI DOSM ini pelbagai isu akan kita teliti termasuk kerjasama daripada agensi kerajaan lain namun fokus utama kita dalam program ini adalah pengukuhan aspek kesedaran kesihatan dan kebajikan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Santuni MADANI DOSM sempena Hari Statistik Negara peringkat Negeri Selangor 2024 di Kampung Baharu di sini hari ini.  

Mohd Uzir berkata pelbagai aktiviti yang menyokong usaha kesedaran mengenai kesihatan dan kebajikan pada program kali ini akan dijalankan seperti gotong-royong bersama penduduk kampung, pameran dan konsultasi daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Turut diadakan ialah sesi Dialog Santuni MADANI bersama pemimpin dan agensi tempatan bagi mengenal pasti isu-isu sosioekonomi yang lain di kampung tersebut di samping terus mencari solusi berkaitan,” katanya.

Program Santuni MADANI adalah satu program khas diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang perlu dilaksanakan oleh setiap ketua jabatan dan agensi kerajaan.

Ia sebagai usaha meningkatkan potensi sesebuah kampung dan keupayaan masyarakat menerusi libat urus berterusan serta pemantauan berkala dan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan