AM > BERITA

904 Mahasiswa Asnaf Terima Bantuan Komputer Riba MAIWP 2024

21/10/2024 05:40 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Seramai 904 mahasiswa asnaf menerima bantuan komputer riba daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerusi Skim Bantuan Komputer Riba 2024.

Penyerahan bantuan berkenaan disempurnakan Pengerusi MAIWP Syed Kamarulzaman Syed Kabeer sempena majlis pelancaran skim itu di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Syed Kamarulzaman dalam ucapannya berkata skim tersebut diperkenalkan MAIWP bagi meringankan beban kewangan mahasiswa daripada golongan asnaf dan B40.

  “Pada hari ini, mereka menerima sebuah komputer riba yang berharga RM3,800 dengan perbelanjaan keseluruhan dana zakat lebih RM3.4 juta,” katanya.

Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Mohd Nizam Yahya dan Mufti Wilayah Persekutuan Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah.

Beliau berkata penerima hari ini adalah bagi permohonan yang dibuka agensi itu pada hujung tahun lepas hingga Januari 2024 dan pihaknya menyasarkan 2,000 penerima di bawah skim berkenaan setiap tahun.

“MAIWP memperuntukkan lebih RM114 juta membabitkan 12 skim bantuan zakat pendidikan bermula peringkat sekolah hingga ke institusi pengajian tinggi (IPT) sepanjang 2024,” katanya.

Sementara itu, Syed Kamarulzaman berkata MAIWP telah mengagihkan zakat berjumlah RM827 juta menerusi pelbagai inisiatif setakat bulan ini.

Dalam pada itu, Mohd Nizam berkata MAIWP turut menawarkan pembiayaan bayaran balik pinjaman pendidikan kepada mana-mana mahasiswa golongan asnaf yang mencapai keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.5 dan ke atas.

“Bagi mahasiswa asnaf yang berdaftar dengan MAIWP dan memperoleh keputusan cemerlang dalam akademik, MAIWP turut membantu melangsaikan hutang pendidikan mereka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan