AM > BERITA

Pemuda UMNO Tumpu Persiapan Hadapi Banjir

21/10/2024 06:26 PM

BATU PAHAT, 21 Okt (Bernama) -- Pemuda UMNO Johor menumpukan pada persiapan menghadapi banjir susulan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula hujung bulan ini termasuk menggerakkan golongan muda menjadi sukarelawan.

Naib Ketua Pemuda UMNO Johor Dr Mohammad Aswad Ithnain berkata persiapan itu antaranya pendedahan kepada misi bantuan yang akan disertai mereka seperti taklimat berkaitan pengurusan serta pengendalian bot.

Beliau berkata ia sebagai pendedahan awal kepada sukarelawan khususnya buat mereka yang sebelum ini tidak mempunyai pengetahuan asas berkaitan bot terutamanya bahagian enjin.

"Berdasarkan pengalaman banjir di Batu Pahat pada awal tahun lalu, yang menyaksikan banyak kawasan terjejas dan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), bantuan sukarelawan amat diperlukan. 

"Oleh itu, Pemuda UMNO negeri bersama badan bukan kerajaan (NGO) bersedia menghadapi musim banjir dengan menyediakan pasukan sukarelawan," katanya ketika ditemui di Jeti Parit Karjan, Sri Medan, di sini, baru-baru ini.

Mohamad Aswad yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Parit Sulong berkata seramai 70 peserta termasuk sukarelawan dari Southern Volunteers (SV) menyertai taklimat yang dikendalikan Persatuan Nelayan Batu Pahat. 

Beliau berkata kursus berkenaan terbuka kepada sesiapa sahaja termasuklah ahli NGO, terutamanya para belia yang ingin mendalami ilmu berkaitan pengendalian bot dan juga pengurusan bencana.

"Taklimat ini juga memberikan pendedahan bagaimana mereka berdepan banjir, juga membantu agensi penyelamat dalam usaha menyelamat mangsa yang terlibat banjir yang semakin kerap berlaku.

"Pendedahan yang cukup baik kepada persatuan dan sukarelawan ini agar mereka boleh turun padang hulur bantuan dengan selamat,” katanya

Dalam pada itu, Pejabat Daerah Batu Pahat dan agensi keselamatan dan penyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan polis turut mengadakan latihan menghadapi bencana banjir di jeti terbabit. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan