AM > BERITA

35 Projek Pembinaan Bangunan Tambahan PPKI Di Seluruh Negara Tahun Depan

22/10/2024 03:26 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) telah mendapat kelulusan bagi 35 projek baharu bernilai RM716.4 juta melibatkan pembinaan bangunan tambahan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di seluruh negara tahun depan termasuk pembinaan dua sekolah pendidikan khas.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata dua sekolah pendidikan khas itu adalah Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) Tuaran, Sabah dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Johor Bahru, Johor dengan kos RM300 juta yang dijangka memberi manfaat kepada 2,855 Murid Berkeperluan Khas (MBPK).

“Dua sekolah pendidikan khas baharu juga sedang dalam proses pembinaan seperti SMPKV Padawan, Sarawak dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Bandar Enstek, Negeri Sembilan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) yang ingin tahu sama ada kementerian telah mengkaji keperluan untuk memperluas akses sekolah yang menawarkan pendidikan khas serta kadar MBPK hingga kini.

Selain itu, Wong berkata terdapat empat projek penggantian Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) bertujuan mengatasi isu sekolah menumpang iaitu SKPK Taiping, Perak; SKPK Sibu, Sarawak; SKPK Jalan Peel, Kuala Lumpur dan SKPK Seremban, Negeri Sembilan.

Beliau berkata RM10 juta turut disediakan bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selesa untuk membantu sekolah autisme swasta yang berdaftar dengan KPM.

“Elaun MBPK sebanyak RM150 sebulan terus disediakan dan memberi manfaat kepada lebih 110,000 MBPK termasuk murid autisme serta melibatkan peruntukan sebanyak RM200 juta,” katanya.

Berdasarkan pembentangan Belanjawan 2025, Wong berkata komitmen kerajaan terhadap pendidikan bagi MBPK dibuktikan menerusikelulusan pembinaan 11 Pusat PERMATA baharu dilengkapi dengan pusat didikan kanak-kanak autistik termasuk di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Sementara itu dalam soalan berasingan, beliau berkata KPM menyalurkan peruntukan RM31 juta tahun ini bagi kerja naik taraf dan penyelenggaraan kecil tandas di 310 sekolah kerajaan di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak yang tidak sempat disiapkan tahun lepas.

Selain itu, Wong berkata KPM juga menyediakan RM134.33 juta peruntukan khas bagi kerja naik taraf dan penyelenggaraan kecil kemudahan tandas kepada sekolah bantuan kerajaan dengan RM124.73 juta sudah disalurkan setakat Oktober ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) berhubung data semasa projek penyelenggaraan tandas institusi pendidikan KPM bagi 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan