AM > BERITA

Blueprint Bandar Pintar Negeri Pahang 2040 Sedang Disiapkan

22/10/2024 05:47 PM

KUANTAN, 22 Okt (Bernama) -- Suatu rangka tindakan iaitu Blueprint Bandar Pintar Negeri Pahang 2040 sedang disediakan dalam memastikan perancangan bandar yang sistematik dan memiliki elemen pintar dalam pengurusan perbandaran. 

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata rangka tindakan itu merupakan dokumen yang akan dijadikan rujukan dan panduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan, agensi di peringkat negeri dan pihak berkepentingan dalam merealisasikan matlamat tersebut.

Blueprint ini akan menerangkan dengan jelas hala tuju pembentukan Bandar Pintar seterusnya menjadi rujukan kepada semua pihak yang berkepentingan dalam membentuk Bandar Pintar di negeri Pahang. 

“Antara perkara yang diberikan penekanan adalah mengenal pasti isu dan cabaran perbandaran di negeri ini, mengenal pasti dasar dan polisi berkaitan bandar pintar, mengkaji dan menilai tahap ketersediaan infrastruktur digital dan penerimaan masyarakat terhadap pembangunan bandar pintar,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) peringkat negeri di sebuah hotel, di sini hari ini. 

Teks ucapannya dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Menurut Wan Rosdy, rangka tindakan itu akan turut memberikan penekanan untuk mengenal pasti inisiatif pelaksanaan yang bersesuaian dengan keperluan di negeri ini. 

Mengulas lanjut, Mohammad Fakhruddin dalam sidang media berkata PLANMalaysia Pahang telah mendapat peruntukan kerajaan negeri untuk menyediakan rangka tindakan tersebut yang dijangka siap tahun depan.

“Kalau nak jadi 'Bandar Pintar', semua urusan dah boleh buat secara dalam talian...nak bayar bil, bayar apa pun, boleh dilakukan dengan mudah. Tak perlu beratur membuat pembayaran, tak perlu bersusah payah cari tempat letak kereta dan sebagainya. Namun, ini memerlukan masa untuk dilaksanakan sepenuhnya, katanya.

Beliau berkata Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) telah mengemukakan pencalonan bagi penarafan Bandar Pintar Tahap Dua dan keputusannya akan diketahui 28 Okt ini. 

“Selain MBK,  lima lagi PBT di Pahang iaitu Majlis Perbandaran Temerloh, Pekan dan Bentong serta Majlis Daerah Lipis dan Jerantut pula mengemukakan pencalonan bagi penarafan Bandar Pintar Tahap Satu," katanya sambil menambah pencalonan penarafan itu dikemukakan Julai lepas menerusi Platform Bandar Pintar negara di bawah PLANMalaysia.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan