AM > BERITA

KM Sebatik Kembali Berkhidmat - Maritim Malaysia

22/10/2024 06:11 PM

KUALA TERENGGANU, 22 Okt (Bernama) -- Kapal Maritim (KM) Sebatik kembali membantu memperkukuh operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan perairan negara, selepas menjalani proses repowering atau penggantian jentera utama dan refit atau pasang pulih selama 22 bulan.

Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata program ke atas kapal peronda berusia sekitar 40 tahun itu, dilakukan bermula Disember 2022 di Limbungan OBM Technic Sdn Bhd, di sini.

“Ia merupakan inisiatif Maritim Malaysia bagi meningkatkan hayat kapal, membabitkan proses modenisasi bagi kapal-kapal yang telah berusia, dengan penambahbaikan serta pertukaran sebahagian besar komponen kapal seperti jentera utama, janakuasa, sistem elektronik, akamodasi dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saiful Lizan berkata majlis penyerahan KM Sebatik itu berlangsung di Limbungan OBM Technic Sdn Bhd di sini hari ini, dengan turut dihadiri Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan Kementerian Ekonomi Nooraidah Abdullah, Pengarah Bahagian Kejuruteraan Maritim Malaysia Laksama Pertama Maritim Hamizan Harun dan Pengarah Maritim Terengganu Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abdul Majid.

Dalam pada itu Saiful Lizan berkata program repowering jentera utama dan refit KM Sebatik turut membabitkan antaranya penukaran sistem jentera utama yang baharu iaitu model CUMMINS QSK60 bagi mencapai kelajuan lebih tinggi serta penggunaan bahan bakar yang lebih efisien, pemasangan sistem Mist Eliminator Louvre Engine Room terbaharu bagi melancarkan sistem pengudaraan di dalam bilik jentera, dan dilengkapi dengan peralatan komunikasi serta navigasi yang lebih moden dan berteknologi tinggi seperti marine radar SIMRAD X Band bagi memastikan pemantauan keselamatan dan kesejahteraan maritim secara lebih meluas.

“Sistem persenjataan utama kapal iaitu meriam 20mm KAA Oerlikon turut dikekalkan dan disenggara agar berada pada tahap terbaik. Latihan teori pengendalian dan praktikal telah diberikan kepada kru di samping latihan penembakan meriam membabitkan aset-aset dari kelas yang sama di Perairan Terengganu (akan dilakukan) dalam masa terdekat, untuk memastikan keupayaan serta kebolehfungsian meriam jenis ini,” katanya.

Untuk rekod, kapal berukuran 29 meter panjang dengan lebar enam meter dan seberat 150 tan ini telah dibina di Penang Shipbuilding Corporation Sdn Bhd pada tahun 1982 bagi kegunaan Pasukan Polis Marin, sebelum diserahkan kepada Maritim Malaysia pada tahun 2011 dan telah dikelaskan sebagai kapal peronda kelas Gemia dengan menggunakan nombor pennant 2958.

KM Sebatik juga merupaka satu daripada lima aset yang menjalani Program ‘Repowering’ Jentera Utama dan ‘Refit’ di mana pada hujung tahun 2022, kerajaan telah memberikan suntikan peruntukan berjumlah RM17.4 juta bagi memastikan projek repowering jentera utama dan refit dapat dilaksanakan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan