AM > BERITA

CAP Cadang Jualan Rahmah Madani Sempena Deepavali

23/10/2024 04:00 PM

GEORGE TOWN, 23 Okt (Bernama) -- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berharap kerajaan mengadakan Jualan Rahmah MADANI Deepavali bagi membolehkan penganut Hindu membeli barang keperluan pada harga lebih murah.  

Pegawai Pendidikan CAP N.V Subbarow berkata barangan yang dijual pada Jualan Rahmah bukan sahaja lebih murah berbanding harga di pasaran malah barangnya juga lebih berkualiti.

"CAP syorkan agar kerajaan dapat buat Jualan Rahmah MADANI Deepavali kerana penganut Hindu boleh membeli dan mendapatkan barangan keperluan dengan lebih murah serta mudah berbanding sekarang ini kerana ada kedai runcit yang tiada bekalan seperti minyak paket. 

"Musim perayaan selalunya pembeli akan beli lebih untuk memasak bagi meraikan Deepavali tetapi kadang-kadang sukar dapat bekalan, jika ada Jualan Rahmah ia lebih mudah untuk membeli barang keperluan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan jualan itu banyak memberikan kesan positif dalam meringankan kos sara hidup rakyat dan pihaknya berharap lebih banyak barangan dijual terutama untuk persiapan sempena Deepavali.

Setakat ini CAP difahamkan tiada lagi penganjuran Jualan Rahmah MADANI Deepavali dan berharap ia dapat diadakan tahun ini.

Sementara itu, Subbarow turut menggesa penganut Hindu di negara ini untuk menjadikan Deepavali sebagai suatu perayaan tanpa plastik.

"Bawalah beg atau bekas isi semula sendiri ketika membeli manisan dan amalan menggunakan plastik mesti dihentikan kerana plastik membahayakan alam sekitar, hidupan liar dan kesihatan manusia dalam pelbagai cara termasuk menyumbang kepada perubahan iklim," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan