AM > BERITA

RUU Keselamatan Dalam Talian Kekang Aktiviti Jenayah Di Media Sosial - Fahmi 

23/10/2024 04:42 PM

SHAH ALAM, 23 Okt (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat dalam masa terdekat bertujuan mengekang aktiviti jenayah di media sosial dan bukannya menyekat kebebasan bersuara.  

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ia juga akan memastikan pengendali platform media sosial lebih proaktif mengekang aktiviti jenayah di platform masing-masing bagi mengelak dikenakan tindakan.

"Hak kita untuk bersuara terkandung dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu undang-undang tertinggi dalam negara, maka mana-mana undang-undang terkait dengan isu kebebasan bersuara tidak boleh melangkaui Perlembagaan ini.

“Niat kita paling utama dalam pengenalan RUU itu bukan untuk mengekang suara rakyat, tetapi mengekang tindak tanduk penjenayah yang sedang memanipulasi dan mengambil kesempatan terutama di media sosial untuk melakukan jenayah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan syarahan pada Program Siri Syarahan Menteri Bertajuk "Literasi Keselamatan Digital" dianjurkan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, di sini hari ini.

Fahmi berkata di sebalik usaha menjamin perkhidmatan Internet lebih murah, liputan lebih meluas dan laju, pengenalan RUU itu juga amat penting dalam memastikan penggunaannya lebih selamat terutama kepada kanak-kanak dan keluarga.

Beliau berkata ketegasan kerajaan MADANI mempertahankan hak rakyat untuk bersuara, pihaknya pada masa sama tidak boleh membiarkan penjenayah mengambil kesempatan memporak-perandakan negara dan terus melakukan aktiviti jenayah di platform media sosial secara berleluasa.

Fahmi berkata kerajaan memandang serius empat aktiviti jenayah seperti scam atau penipuan, judi dalam talian, buli siber dan bahan-bahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang kini rancak berpindah ke laman media sosial sebagai platform menjalankan aktiviti terlarang itu.

"Untuk tahun lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman memaklumkan rakyat Malaysia kehilangan RM432 juta akibat penipuan dalam Facebook sahaja…ia merupakan platform paling besar dan paling disalah gunakan oleh penjenayah untuk aktiviti penipuan.

“Tetapi Facebook sangat lemah dan lembab dalam mengambil apa-apa tindakan untuk menghalang, dan mereka seolah-olah menunggu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) atau aduan orang awam, sedangkan mereka ada kewajipan berjaga-jaga untuk menjamin platform mereka itu selamat digunakan, bebas angkara jenayah terutama penipuan," katanya.

Fahmi berkata kerajaan juga mengambil beberapa tindakan lain termasuk meminda Kanun Keseksaan bagi mentakrifkan semula definisi Mule Account atau Akaun Keldai yang sering digunakan scammer atau penipu untuk menyalurkan wang yang dicuri, memberi takrifan kepada jenayah buli dan buli siber, serta meminda Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Antara sebab kerajaan mengambil langkah sedemikian dan membawa RUU Keselamatan Dalam Talian ke Parlimen dalam masa terdekat adalah untuk melihat isu keselamatan dalam talian secara lebih menyeluruh dapat ditangani, khususnya melibatkan empat aktiviti jenayah utama tersebut yang sedang rancak berpindah ke media sosial," katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dilapor menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa RUU itu akan menidakkan demokrasi dengan memberi kuasa kepada kerajaan menurunkan sebarang maklumat dari platform media sosial.

Azalina memberi jaminan rang undang-undang yang akan dibentangkannya dengan pelaksanaan dan penguatkuasaannya  di bawah Kementerian Komunikasi menerusi MCMC itu tidak akan menyekat kebebasan bersuara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan