AM > BERITA

Jeti Pengkalan Kempas Bakal Berwajah Baharu

23/10/2024 04:44 PM

PORT DICKSON, 23 Okt (Bernama) -- Jeti Pengkalan Kempas bakal berubah wajah bermula tahun hadapan selepas kerja pembinaan jeti baharu dilaksanakan bermula Disember ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital Datuk Mohd Faizal Ramli.

Beliau berkata sebanyak RM500,000 diperuntukkan untuk membina jeti baharu yang lebih menarik dan indah untuk dijadikan jeti pelancong.

"Kita mengharapkan jeti baharu itu dapat menambah kehadiran pelancong terutama mereka yang datang menaiki River Cruise dari Melaka untuk singgah ke Pengkalan Kempas.

"Mereka (pengusaha River Cruise Melaka) ada perancangan untuk bawa pelancong singgah melihat kawasan di pekan ini dan Kompleks Batu Hidup Megalith tetapi melihatkan keadaan jeti kita sekarang ini, pelancong pun takut nak turun. Kita tunggu jeti baharu siap nanti barulah meriah di sini," katanya ketika ditemui di sini.

Mohd Faizal berkata Pengkalan Kempas yang terletak kira-kira 40 kilometer (km) dari bandar Seremban menjadi destinasi popular bagi kaki pancing dan ia juga hab udang galah di Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga mendapat peruntukan RM500,000 bagi kerja naik taraf pondok rehat nelayan Telok Pelanduk yang terletak kira-kira 16.5 km dari Pengkalan Kempas.

 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi itu berkata pondok terletak di tepi laut itu kini kelihatan usang perlu dibaiki dan kelihatan moden bagi tarikan pelancong. 

"Kita nak mencantikkan tempat itu, cat dengan warna yang menarik, jadi pelancong boleh singgah dan turun untuk bergambar," katanya.

Tinjauan Bernama mendapati infrastruktur jeti itu kelihatan tidak selamat perlu penambahbaikan bagi keselesaan komuniti nelayan sekitar selain terdapat beberapa deretan premis bangunan lama berdekatan jeti itu dicat semula serta lukisan mural pada dinding bangunan bagi menghidupkan suasana pekan berkenaan.

Kali terakhir Jeti Pengkalan Kempas dinaik taraf lebih 20 tahun yang lepas dan jeti ini mempunyai nilai sejarah tersendiri kerana menjadi laluan pedagang serta tempat perhentian kapal para pembesar dan orang kenamaan pada zaman dahulu.

Sementara itu, nelayan Lee Ching Dong, 37, berkata komuniti nelayan di kawasan itu berharap jeti baharu itu nanti dapat meningkatkan lagi ekonomi penduduk setempat serta memberikan keselesaan kepada pengunjung.

"Sekarang ini jeti kita nampak uzur sangat, hanya ada titi kayu sahaja untuk naik ke bot, selepas ini kita harap naik taraf ini berjalan lancar demi keselesaan dan keselamatan pengunjung," katanya.

Bagi penduduk tempatan, Shapra Sulaiman,61, berharap jeti baharu itu dapat menaikkan semula nama Pengkalan Kempas yang dahulunya sangat sibuk dengan aktiviti perdagangan memandangkan ia lokasi pelabuhan kapal di negeri ini.

"Jadi kita harap jeti baharu itu nanti dapat memberikan daya tarikan kepada pelancong luar … mereka yang datang bersama keluarga boleh bersantai sambil memancing dengan selesa dan selamat," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan