AM > BERITA

Perhilitan Terengganu Tangkap Buaya Tembaga Sesat

23/10/2024 06:28 PM

JERTIH, 23 Okt  (Bernama) -- Seekor buaya tembaga seberat 80 kilogram ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu di Kampung Padang Buluh, Hulu Besut, di sini malam tadi.

Pengarahnya Loo Kean Seong berkata tangkapan itu dibuat susulan aduan daripada penduduk kampung tentang penemuan buaya itu pada 10 malam tadi.

“Buaya tembaga itu didapati berada di daratan iaitu di kawasan kebun getah kampung itu setelah dipercayai tersesat dari sebuah tasik berdekatan.

"Reptilia sepanjang 2.7 meter itu berjaya ditangkap oleh lapan anggota Perhilitan sebelum dilepaskan semula ke habitat asalnya tengah hari tadi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Loo menasihatkan orang ramai agar segera memaklumkan kepada Perhilitan sekiranya terdapat kehadiran haiwan liar di kawasan mereka dan tidak memuat naik sebarang video mahupun gambar di media sosial berkaitan hidupan liar bagi mengelakkan kegusaran awam.

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan