AM > BERITA

KUSKOP Perkenal Pelbagai Inisiatif Perkasa Usahawan, Masyarakat India - Ramanan

23/10/2024 05:52 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperkenal pelbagai inisiatif bantuan keusahawanan yang telah memanfaatkan puluhan ribu masyarakat India di negara ini. 

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri R. Ramanan berkata antara inisiatif itu ialah Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN) di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia dan Program Pembiayaan Bank Rakyat bagi Usahawan Berbangsa India (BRIEF-i). 

“Daripada inisiatif yang kita buat, lebih 10,000 orang telah menerima manfaat contohnya program PENN, lebih RM20 juta penyaluran pembiayaan telah diberikan kepada hampir 3,000 usahawan wanita India.

“Program PENN ini sangat penting dan bermanfaat walaupun ada isu Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), CTOS, bankrap dan sebagainya tetapi mereka yang dibantu tetap layak mendapat manfaat daripada inisiatif ini dengan RM50 juta dikhaskan bagi peruntukan pembiayaan,” katanya. 

Beliau berkata demikan pada Majlis Makan Tengah Hari Bersama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi sempena sambutan perayaan Deepavali di sini hari ini. 

Ramanan juga berkata di bawah inisiatif BRIEF-i pula, setakat bulan ini dianggarkan RM33.16 juta peruntukan pembiayaan telah disalurkan melibatkan hampir 400 usahawan India. 

“Berdasarkan jumlah peruntukan pembiayaan yang diberikan, masih ramai boleh dibantu pada masa akan datang,” katanya. 

Terdahulu, beliau berkata media memainkan peranan penting dalam pembangunan negara khususnya bagi memperkasa masyarakat yang turut meliputi tiga juta masyarakat India di Malaysia.  

Pada program itu, Ramanan meluangkan masa kira-kira sejam beramah mesra dengan lebih 40 pengamal media komuniti India daripada pelbagai agensi yang bakal meraikan Deepavali hujung bulan ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan