AM > BERITA

Kurangkan Pelepasan Gas Rumah Hijau, Organisasi Perlu Ada Rangka Kerja ESG

23/10/2024 07:27 PM

SERDANG, 23 Okt (Bernama) -- Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini menyeru semua organisasi di Malaysia mengintegrasikan rangka kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi membantu negara mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau. 

Beliau berkata semua pihak perlu memainkan peranan dalam menangani krisis perubahan iklim yang saban hari semakin memberi impak negatif kepada rakyat dan ekonomi, bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia. 

"Sekiranya kita tidak mengambil tindakan segera dunia yang kita diami ini mungkin tidak lagi dapat dinikmati oleh generasi akan datang. Tanpa kita sedari, negara juga perlu menanggung kos jika kita berdiam diri tanpa merangka pelan tindakan untuk menanganinya.

"Perubahan iklim perlu ditangani sekarang bagi memastikan impaknya kepada pembangunan dan kesejahteraan negara dapat dikurangkan atau dielakkan di masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Hijau Hopea Odorata yang dijayakan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) di Bukit Ekspo UPM di sini hari ini.

Projek berkenaan adalah inisiatif kerjasama selama tiga tahun antara ERL dan UPM untuk menanam 60 pokok spesies Hopea Odorata atau lebih dikenali sebagai Merawan Siput Jantan.

Menerusi kerjasama itu, ERL turut melancarkan GoGreen Ekspres ERL iaitu Rangka Kerja Keselamatan, Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus ERL yang menyenaraikan komitmen dan usaha ERL untuk menyumbang kepada inisiatif karbon sifar bersih menjelang 2050. 

Mengulas mengenai kerjasama tersebut, Nik Nazmi berkata ia menjadi contoh bagaimana organisasi biarpun berbeza sektor, boleh bekerjasama dalam menyumbang kepada penghijauan semula alam sekitar dan pengurangan pelepasan gas karbon.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ERL Noormah Mohd Noor berkata kerjasama tersebut merupakan satu daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) ERL yang telah dikenal pasti dalam laporan GoGreen Ekspres. 

"Inisiatif dengan UPM ini memberi fokus kepada pemuliharaan alam sekitar dengan penanaman Hopea Odorata. Kami juga amat menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit sebagai pengangkutan harian pilihan bagi mengurangkan pelepasan karbon berbanding dengan menaiki kenderaan sendiri," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan