AM > BERITA

Deepavali: Hampir 2,000 Kanak-kanak, Warga Emas Terima Sumbangan Baju Seluruh Negara

23/10/2024 08:50 PM

GEORGE TOWN, 23 Okt (Bernama) -- Sambutan perayaan Deepavali lebih manis kepada hampir 2,000 kanak-kanak dan warga emas di seluruh negara apabila mereka menerima baju raya sempena perayaan tersebut  yang bakal disambut minggu depan.

Sumbangan baju raya tersebut diberikan secara langsung kepada murid sekolah, rumah kebajikan anak yatim dan rumah orang tua oleh gedung pakaian India terbesar di negara ini, Raaji Silk Palace Sdn Bhd dan Rathi Silk Palace Sdn Bhd, menerusi 15 cawangannya di seluruh Malaysia.

Pengarah Rathi Silk Palace Datuk M.A. Jinnah berkata sumbangan berupa pakaian tradisional yang berharga antara RM100 hingga RM150 itu adalah komitmen perniagaan mereka setiap tahun sejak 2019, bertujuan untuk membawa kegembiraan kepada mereka yang memerlukan dan sekali gus menjadikan sambutanpada 31 Okt ini lebih bermakna.

“Kami berharap dengan sumbangan baju raya ini, perayaan mereka pada tahun ini lebih ceria dan bermakna khususnya kepada kanak-kanak serta meringankan beban ibu bapa mereka pada waktu Deepavali.

“Pada tahun hadapan, kami merancang untuk menyampaikan sumbangan baju raya kepada lebih 5,000 masyarakat Hindu di seluruh Malaysia,” katanya kepada Bernama selepas hadir di majlis sumbangan Deepavali di Little India di sini hari ini.

Pada majlis hari ini, riak wajah ceria jelas kelihatan di wajah 115 murid daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Ara, SJKT Bayan Lepas, Sekolah Kebangsaan Padang Tembak dan SJKT Rajaji serta kanak-kanak daripada keluarga B40 selepas menerima baju raya Deepavali.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Datuk A. Rajendran, dan Pengarah Raaji Silk Datuk L. Gandesan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan