AM > BERITA

Jaga Adab, Akhlak Ketika Bahas Isu Terkait Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024

23/10/2024 09:42 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Semua pihak termasuk tokoh agamawan diseru agar sentiasa menjaga batasan adab dan akhlak dalam membahaskan setiap isu terkait Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024. 

Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR Amidi Abdul Manan berkata ini kerana perdebatan mengenai rang undang-undang itu mula menampakkan reaksi berlebihan sehingga terkeluar daripada lingkungan yang sepatutnya.

Beliau berkata kenyataan yang mencemuh, memperlekeh serta kesat hanya menyemarakkan api permusuhan dan tidak menghuraikan kekusutan.

"Setiap tokoh agamawan serta pengikut dan penyokongnya yang terlibat dalam perdebatan ini seharusnya sentiasa berusaha memperlihatkan keindahan Islam agar kefahaman mengenai Islam akan mengukuhkan lagi kecintaan terhadap nilai dan ajarannya," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Amidi juga menyeru semua pihak untuk memahami konteks asal rang undang-undang itu agar perbincangan tidak tersasar jauh daripada tujuan ia digubal dan pihaknya yakin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu menangani isu terkait perkara tersebut dengan mengutamakan kebaikan untuk umat Islam.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata rang undang-undang itu akan dibentang untuk bacaan kali kedua dan ketiga dalam sidang Parlimen yang bermula 14 Okt ini.

Antara lain, rang undang-undang itu akan memberi takrifan kepada Ahli Sunah Waljamaah yang sudut akidahnya adalah bersumberkan aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan