AM > BERITA

Permintaan Manisan, Muruku Meningkat Menjelang Deepavali

23/10/2024 09:44 PM

GEORGE TOWN, 23 Okt (Bernama) -- Sambutan Deepavali pastinya tidak lengkap tanpa kuih dan manisan tradisional masyarakat India yang cukup sinonim dengan perayaan pesta cahaya itu.

Manisan dan kuih seperti ladu, chittu urundai, jelebi dan athirasam juga menjadi simbol kegembiraan selain mencerminkan kekayaan budaya masyarakat India di negara ini.

Berikutan itu, para peniaga manisan di Little India di sini tidak menang tangan bagi memenuhi permintaan yang kian meningkat menjelang Deepavali minggu depan.

Seorang peniaga T. Ravi, 33, berkata syarikat milik keluarganya menghasilkan kira-kira 30,000 potongan pelbagai jenis manisan bersempena dengan Deepavali yang akan disambut 31 Okt ini.

Dia berkata walaupun harga beberapa bahan mentah seperti tepung beras, marjerin dan minyak sapi meningkat, namun mereka tetap mengekalkan harga jualan seperti tahun sebelum ini.

"Harga setiap manisan masih dijual antara 60 hingga 90 sen sahaja selepas terpaksa menaikkan harga pada tahun lepas.

“Sekarang gerai kami makin ramai pengunjung, semua mahu membuat persiapan awal bagi mengelakkan kesesakan hujung minggu nanti," katanya ketika ditemui di Little India di sini hari ini.

Seorang lagi peniaga manisan, kacang dan muruku K. Thanaraj, 35, berkata juadah paling laris ketika ini ialah muruku dan achi muruku.

Beliau berkata semua muruku dan manisan disediakan sendiri ahli keluarganya kerana mereka menjalankan perniagaan itu secara bersama dengan bantuan tiga pekerja sambilan.

"Harga yang ditawarkan kepada pembeli masih sama seperti tahun lepas iaitu 50 sen hingga RM1 kerana mahu pelanggan menikmati kuih yang kami jual sempena Deepavali," katanya yang menghasilkan 20,000 potongan manisan tahun ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan