AM > BERITA

Penggantungan Pengurus Besar NAFAS Perlu Tunggu Keputusan Pendaftar

23/10/2024 09:48 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Keputusan Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menggantung Pengurus Besarnya, Muhammad Faris Arriffin, tidak boleh dikuat kuasa sehingga satu pertimbangan dan keputusan muktamad dikeluarkan oleh Pendaftar Pertubuhan Peladang.

Pejabat Pendaftar Pertubuhan Peladang menerusi kenyataan hari ini memaklumkan tindakan Ahli Jemaah Pengarah NAFAS mengeluarkan komen mengenai tindakan itu adalah tidak wajar.

"Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, Pendaftar Pertubuhan Peladang belum menerima sebarang laporan rasmi berkaitan penggantungan tugas Pengurus Besar NAFAS daripada Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS," katanya.

Menurut kenyataan itu, di bawah perundangan pertubuhan Peladang, sebarang aduan atau dakwaan ke atas Pengurus Besar NAFAS hendaklah dirujuk terlebih dahulu kepada Pendaftar sebelum sesuatu keputusan boleh dilaksanakan dan ini termaktub di bawah Seksyen 7(1) Akta Pertubuhan Peladang 1973.

Ahli Jemaah Pengarah NAFAS dalam kenyataan semalam memaklumkan bahawa Muhammad Faris Arriffin digantung atas dakwaan kesalahan tatakelola yang melibatkan salah guna kewangan pertubuhan itu.

Bagaimanapun, Muhammad Faris menafikan dakwaan itu menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan