AM > BERITA

Ahli Parlimen Puji Langkah Naik Gaji Minimum Namun Bimbang Kos Sara Hidup Meningkat

23/10/2024 10:21 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Keputusan kerajaan menaikkan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 dalam Belanjawan 2025 menjadi tumpuan Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang pada sesi perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Majoriti wakil rakyat yang membangkitkan perkara itu menyokong usaha kerajaan demi manfaat golongan pekerja namun mereka turut menzahirkan kebimbangan langkah tersebut mungkin membebankan majikan selain mencetuskan kesan rantaian kos sara hidup seperti peningkatan harga barang atau caj perkhidmatan.

Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh), yang menyokong keputusan itu, berpandangan kerajaan perlu melihat kekangan majikan menampung kenaikan gaji dan pada masa sama, perlu membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing. 

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar majikan membayar caruman KWSP bagi pekerja asing sebanyak 1.5 peratus manakala pekerja terbabit menyumbang 10 peratus.

“Mengikut sistem KWSP sekarang, majikan perlu membayar caruman 13 peratus manakala pekerja 11 peratus dan jika kadar sama digunakan bagi pekerja asing, ia dikhuatiri membebankan majikan yang perlu membayar kos lain seperti penginapan,” katanya ketika membahaskan rang undang-udang itu.

Beliau berkata pembayaran caruman KWSP kepada pekerja asing dapat mencegah insiden pekerja lari daripada majikan asal dan menghalang sindiket eksploitasi pekerja asing selain membantu mereka mempunyai simpanan.

Pada pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kadar gaji minimum dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Feb depan, dan 1 Ogos 2025 kepada majikan atau usahawan kecil yang mempunyai  lima pekerja ke bawah. 

Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) pula berkata bagi golongan pekerja, manfaat kenaikan gaji sudah pasti disambut dengan gembira manakala bagi majikan yang mampu menyerap peningkatan kos upah, keputusan itu berupaya meningkatkan nilai pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar. 

Justeru, beliau berkata kenaikan gaji minimum mestilah disokong dengan dasar serta tindakan kawalan harga yang jelas dan tindakan penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 perlu diperkasa supaya sebarang kenaikan yang tidak wajar dikenakan tindakan tegas.

“Penguatkuasaan perlu lebih berkesan dan meluas. Di samping itu, kerajaan mesti lebih berhati-hati dalam melaksanakan apa-apa dasar yang boleh menyebabkan kesan berantai ke atas kenaikan harga barangan dan perkhidmatan,” katanya.

Bagi Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor), usaha kerajaan meningkatkan gaji minimum adalah relevan dengan keadaan semasa namun harus mengambil kira kesannya kepada majikan daripada sektor perusahaan kecil dan sederhana.

Beliau juga berharap kerajaan dapat melewatkan sedikit pelaksanaannya bagi memastikan semua pihak yang terlibat benar-benar bersedia dan dapat mengadaptasi kesan peningkatan gaji minimum.

“Selain itu, secara khususnya saya minta Kementerian Kewangan pastikan semua kontrak dalam semua kementerian dan agensi kerajaan akan disemak semula agar kadar bayaran dinaikkan selari dengan gaji minimum baharu,” katanya.

Isu sama turut dibangkitkan oleh Ahli Parlimen lain termasuk Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian).

Persidangan bersambung esok. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan