AM > BERITA

Program Jualan Ihsan Rahmah MADANI Pulau Pinang Sempena Deepavali Mulai Hari Ini

23/10/2024 10:58 PM

GEORGE TOWN, 23 Okt (Bernama) -- Program Jualan Ihsan Rahmah MADANI (PJIRM) peringkat Pulau Pinang 2024 bermula hari ini hingga 10 Nov depan bersempena sambutan Deepavali yang bakal diraikan pada 31 Okt ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri S. Jegan berkata matlamat pelaksanaan PJIRM Deepavali adalah untuk meringankan beban perbelanjaan rakyat dalam membuat persiapan menjelang perayaan itu.

Beliau berkata program tersebut merupakan inisiatif KPDN bersama pihak swasta dan industri di bawah cabang baharu ikhtiar inisiatif Ihsan Rahmah MADANI (IRM) dalam membantu rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40).

“Selaku rakan strategik KPDN, Billion Shopping Centre Sdn. Bhd di Seberang Jaya membuat tawaran jualan pakaian dan kelengkapan hari Deepavali pada harga lebih rendah dan berpatutan. 

“Usaha ini adalah selari dengan objektif PJIRM musim perayaan dalam memperluas capaian tawaran barang keperluan dan kelengkapan lain kepada rakyat melalui kerjasama strategik ini,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Jegan berkata KPDN akan terus memperkasakan pelaksanaan inisiatif Payung Rahmah tahun ini melalui penglibatan sektor swasta serta industri, dan ia akan menjadi antara strategi dalam menggerakkan agenda kerajaan menangani kos sara hidup rakyat. 

Beliau berkata KPDN juga berharap usaha tersebut berupaya membantu rakyat tempatan untuk mendapatkan pakaian dan kelengkapan perayaan yang berkualiti pada harga rendah dan berpatutan seiring dengan produk yang ditawarkan. 

Justeru, beliau menyeru pemain industri khususnya pasar raya besar yang lain untuk bersama-sama menjayakan aspirasi PJIRM tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan