AM > BERITA

Peruntukan RM50 Juta Mampu Dukung Matlamat DBP Segarkan Bahasa Dan Kesusasteraan

23/10/2024 11:36 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Pengiktirafan kerajaan menerusi peruntukan RM50 juta dalam Belanjawan 2025 dilihat mampu mendukung matlamat Pelan Strategik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2021-2025.

Ketua Pengarah DBP Dr Hazami Jahari berkata melalui inisiatif yang diumumkan kerajaan, pihaknya berharap aktiviti bahasa dan kesusasteraan akan sentiasa segar serta menjadi wahana penting dalam mendidik masyarakat MADANI.

“Usaha menterjemah karya-karya besar negara dalam bahasa dunia dan karya agung dunia dalam bahasa kebangsaan merupakan satu perkara yang amat digalakkan sejak awal pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam meraikan percambahan pemikiran kreatif serta kritis.

“Karya agung Melayu turut memainkan peranan penting dalam mengekalkan identiti dan kebudayaan bangsa. Karya-Karya ini bukan sahaja mencerminkan sejarah dan tradisi tetapi juga mengandungi nilai-nilai moral dan etika yang relevan sepanjang zaman,” katanya pada sidang media di Menara DBP di sini hari ini.

Menerusi Belanjawan 2025 yang diumum pada Jumaat lepas, kerajaan menyediakan RM50 juta kepada DBP dengan kerjasama penggiat bahasa dan sastera untuk mempergiat aktiviti bahasa serta kesusasteraan khususnya dalam kalangan generasi muda.

Ikhtiar yang memfokus kepada bahasa dan karya kreatif ini juga termasuk mengalih bahasa karya-karya agung, penganjuran teater serta memelihara bahasa kaum minoriti seperti etnik Siam.

Mengulas lanjut, beliau berkata keprihatinan kerajaan terhadap DBP untuk melaksanakan aktiviti terjemahan dan terbitan karya agung serta aktiviti menyebarluaskan karya agung dan karya sasterawan negara sudah bermula sejak 2023.

“Pada 2023, DBP bersama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) serta Yayasan Karyawan (YK) diperuntuk RM20 juta dan diagihkan mengikut kelulusan Kementerian Kewangan.

“Pada tahun ini, kami bersama-sama ITBM dan YK meneruskan pelaksanaan inisiatif belanjawan bagi  2024 melalui Ikhtiar 11 iaitu Memperkukuh Perpaduan dan Keselamatan (di bawah) Perkara Ketiga (b) - Sukan dan Budaya Wahana Perpaduan (Budaya, Bahasa dan Kesusasteraan),” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan