AM > BERITA

Belanjawan 2025 : Lebih Ramai Kanak-kanak Autistik Berpeluang Nikmati Intervensi Awal

24/10/2024 10:24 AM

Oleh Thivyamalini Ramalu

PUTRAJAYA, 24 Okt (Bernama) -- Lebih banyak kanak-kanak autistik berpeluang mendapat intervensi awal menerusi inisiatif diumumkan dalam Belanjawan 2025, termasuk Pembinaan 11 pusat Permata baharu bagi melengkapkan setiap negeri dengan pusat didikan anak-anak autistik.

Ia termasuk di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Alumni Kurnia Dr Aamir Abdullah Abdul Kareem Khadaied berkata ketika ini, terdapat hanya satu kemudahan sahaja iaitu di Pusat Permata Kurnia di Sentul bagi intervensi awal kanak-kanak autistik yang tidak dapat menampung keperluan golongan itu lebih-lebih lagi apabila keluarga berpendapatan rendah dan sederhana tidak mampu mendapatkan khidmat intervensi di pusat swasta.

“Belanjawan 2025 lebih komprehensif khas bagi anak autistik, kita nampak ada usaha kerajaan untuk tambah kemudahan sedia ada bagi buka peluang kepada golongan ini yang kita rasa angkanya semakin meningkat.

“Memang masa menunggu untuk ke Permata Kurnia adalah lama, waktu nak hantar anak perempuan saya ke sana pada 2017, memang tunggu hampir 10 bulan. Jadi usaha kerajaan ini menampakkan mereka lebih cakna bagi membantu kanak-kanak itu mendapat intervensi awal dan pendidikan khas,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ditanya mengenai kepentingan intervensi awal, Dr Aamir Abdullah yang juga berkhidmat sebagai anestesiologis di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia berkata keberadaan kanak-kanak autistik tidak boleh dielakkan dan wujud keperluan bagi mereka ‘pulangkan manfaat’ diterima kepada masyarakat dan negara.

“Suatu ketika nanti, mereka akan menjadi sebahagian daripada minoriti yang signifikan dalam masyarakat. Kita tidak boleh lagi ikut cara lama dengan meninggalkan mereka di rumah, dikurung seterusnya menjadikan mereka sebagai individu yang tiada fungsi.

“Dengan cara kerajaan menerusi pengagihan peruntukan ini, secara tidak langsung anak-anak ini dibantu dan mereka pula kelak akan ‘memberi semula’ kepada yang memerlukan,” katanya menambah perbelanjaan asas bagi setiap kanak-kanak autistik menelan kos hampir RM2,000 sebulan dan mungkin lebih bagi sesebuah keluarga.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 mengumumkan dua sekolah baharu murid berkeperluan khas dibina di Tuaran, Sabah dan Johor Bahru dengan kos RM300 juta.

Beliau berkata sekolah di Johor Bahru itu juga bakal menjadi sekolah pertama yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada pendidikan untuk autistik, dan selain itu Anwar turut mengumumkan sebuah pusat perkhidmatan autisme akan dibangunkan bagi memanfaat komuniti autisme dengan peruntukan RM5 juta.

Anwar turut mengumumkan had pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan dan pemulihan anak autisme akan ditingkatkan kepada RM6,000 berbanding RM4,000.

Sementera itu, Pakar Perunding Pediatrik Hospital Fatimah, Ipoh Dr Shan Narayanan berkata intervensi kerajaan menerusi Belanjawan 2025 menandakan satu langkah penting ke arah menangani autisme dengan memperuntukkan peningkatan pembiayaan dan menubuhkan intitusi khusus untuk kanak-kanak autistik.

“Tumpuan untuk membina pusat Permata dan sekolah khusus adalah langkah strategik yang boleh menyediakan persekitaran pembelajaran tersusun. Peningkatan pelepasan cukai untuk perbelanjaan rawatan juga menggambarkan pemahaman tentang beban kewangan keluarga,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Shan berkata kerjasama antara sektor awam dan swasta adalah penting bagi memastikan inisiatif ini berjaya, pada masa sama menyeru pendekatan seimbang menangani keperluan segera dan jangka panjang melalui garis panduan tersusun dan strategi sasaran.

Keutamaan segera termasuk meningkatkan perkhidmatan diagnostik untuk pengecaman awal austime dan mewujudkan pusat intervensi awal untuk kanak-kanak prasekolah.

Inisiatif jangka panjang perlu memberikan tumpuan kepada latihan vokasional, mewujudkan kediaman bantuan untuk mereka yang memerlukan dan membangunkan sistem sokongan mampan untuk memudahkan peralihan individu autistik ke alam dewasa, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan