AM > BERITA

Projek Pusingan U Di Melaka Kurangkan Kesesakan Trafik Hingga 50 Peratus

24/10/2024 05:32 PM

MELAKA, 24 Okt (Bernama) -- Masalah kesesakan aliran trafik dijangka dikurangkan hingga 50 peratus menerusi projek pembinaan pusingan U bertingkat dan ‘direct U-turn’ dari Persimpangan Pulau Gadong hingga Persimpangan Cheng Perdana.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata kelulusan projek diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat lepas dilihat bakal memberikan impak besar terhadap sistem jalan raya lebih lancar dan penyuraian trafik yang efisien.

"Pembinaannya membabitkan laluan utama di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) itu merupakan lokasi mempunyai jumlah kenderaan tertinggi terutamanya pada waktu puncak iaitu ketika orang ramai pergi dan pulang bekerja.

"Selepas adanya pusingan U bertingkat dan ‘direct U-turn’ itu nanti tidak akan ada lagi lampu isyarat yang memerlukan kenderaan berhenti pada satu-satu masa sehingga berlakunya kesesakan," katanya kepada pemberita di Jabatan Penyiaran Melaka di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menjadi tetamu bagi Segmen Program Apa Khabau YB di Konti Melaka FM yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka Mohamad Salzeli Moktar.

Mengulas lanjut, Hameed berkata sebelum ini kerajaan negeri melaksanakan inisiatif 'no right turn' untuk aliran trafik bergerak dengan lancar terutama pada waktu puncak namun menerusi pembinaan pusingan U bertingkat dan ‘direct U-turn’ dilihat lebih efektif.

Beliau berkata sebelum ini kerajaan negeri memohon sebanyak empat pembinaan projek pusingan U bertingkat dan ‘direct U-turn’ di seluruh Melaka.

"JKR selaku agensi bertanggungjawab akan meneruskan permohonan kepada kerajaan Persekutuan supaya tiga lagi projek sama iaitu di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), Lebuh Ayer Keroh dan Lebuh AMJ dapat diluluskan," katanya.

Kerajaan negeri juga memohon peruntukan sebanyak RM9 juta bagi penyelenggaraan lampu jalan di Lebuh AMJ dan di Lebuh SPA pada tahun depan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan