AM > BERITA

Warga KPKT Perlu Kreatif Hasilkan Idea Inovasi Untuk Tingkat Keberkesanan Perkhidmatan - Nga

28/10/2024 06:34 PM

PUTRAJAYA, 28 Okt (Bernama) -- Warga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diseru agar terus kreatif serta aktif memikirkan idea-idea inovasi baharu bagi meningkatkan keupayaan serta keberkesanan sebagai ejen perkhidmatan awam dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Menterinya Nga Kor Ming berkata inovasi merupakan topik yang sentiasa disebut dalam dasar kerajaan termasuk Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara, Dasar Pendigitalan Negara serta teras ketiga daripada enam nilai Teras Malaysia MADANI iaitu Daya Cipta.

Beliau berkata sambutan Hari Inovasi yang diadakan setiap tahun merupakan komitmen kementerian dalam usaha memperkasakan lagi budaya inovasi serta kreativiti dalam kalangan warga kerja dan jabatan-jabatan di bawah KPKT.

Bertemakan 'Aspirasi Inovasi Memacu MADANI', Nga berkata tema itu sangat bertepatan dengan hasrat KPKT dalam usaha menggalakkan budaya mencipta bagi menghasilkan lebih ramai inovator yang menyumbang ke arah masa depan Malaysia yang MADANI.

"Pelbagai perkara boleh dimanfaatkan di bawah tema ini, dalam usaha untuk mengembangkan masyarakat yang lebih baik melalui inovasi yang beretika dan inklusif.

"Dengan mengintegrasikan aspirasi ini ke dalam program inovasi, warga KPKT dapat mencipta sebuah ekosistem inovasi dalam penyampaian perkhidmatan yang lebih adil, seimbang dan progresif," katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Inovasi KPKT, di sini hari ini.

Mengenai Pertandingan Inovasi, Nga berkata sebanyak 53 kumpulan menghantar penyertaan dan daripada jumlah itu, 16 penyertaan untuk Anugerah Inovasi Menteri (AIM) dan bakinya merupakan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK).

"Jumlah ini juga merupakan jumlah tertinggi penyertaan warga KPKT berbanding tahun 2023 iaitu sebanyak 25 penyertaan.

"Jadi, saya berharap agar di tahun-tahun akan datang, akan ada lebih banyak penyertaan di peringkat bahagian dan unit dalam KPKT bagi menyemarakkan pembudayaan inovasi untuk memacu transformasi perkhidmatan awam dalam mendukung aspirasi Malaysia MADANI," katanya.

Kumpulan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai muncul johan bagi kategori AIM menerusi projek Serai Generation 1 dan membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi dan sijil penghargaan.

Bagi Pertandingan KIK pula, kumpulan daripada SWCorp Sektor Teknikal Ibu Pejabat dipilih sebagai pemenang dengan projek ‘Used Cooling Oil Machine’ yang meraih wang tunai RM5,000, trofi dan sijil penghargaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan