AM > BERITA

Masyarakat India Perlu Bersatu Rebut Peluang Disediakan Kerajaan - Ramanan

29/10/2024 03:19 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Masyarakat India di negara ini perlu bersatu padu merebut setiap peluang disediakan kerajaan bagi memastikan komuniti itu maju dan berjaya seiring dengan proses pembangunan negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan berkata kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah merencanakan pelbagai program pembangunan untuk semua kaum seiring dengan gagasan Malaysia MADANI.

“Masyarakat India perlu bersatu padu di bawah satu bumbung untuk memperkasakan dan memperkukuhkan lagi kuasa politik komuniti itu demi menjamin harapan dan masa depan, khususnya dalam meningkatkan lagi taraf sosioekonomi,” katanya dalam ucapan sempena sambutan Deepavali di Facebook hari ini.

Deepavali akan diraikan masyarakat beragama Hindu pada Khamis ini.

Beliau berkata bagi pembangunan sosioekonomi masyarakat India, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Skim Pembiayaan Pemerkasaan (SPUMI) Goes Big melalui TEKUN Nasional dan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i).

Menurutnya, inisiatif lain ialah Prosperity, Empowerment and A New Normal (PENN) di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia dan Business Accelerator Programme for Indian Small Business (I-BAP) melalui SME Corp, dan kesemua insiatif berkenaan berjaya membantu hampir 10,000 usahawan India memajukan perniagaan.

“Banyak lagi perancangan sedang dirancang untuk komuniti India dan saya akan mengadakan perbincangan bersama Perdana Menteri dari semasa ke semasa untuk memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan dengan tersusun dan terancang.

“Terima kasih juga kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yang sentiasa membantu saya dalam menjayakan (perancangan) untuk komuniti India,” katanya.

Ramanan berkata komuniti India telah memainkan peranan penting dalam proses pembangunan negara termasuk pembentukan kerajaan dan kestabilan politik negara.

Justeru, beliau beriltizam akan memastikan nasib masyarakat India terjamin dan terbela.

“Saya akan melakukan yang terbaik untuk anda semua. Saya memahami, mendalami dan dapat membaca perasaan hati masyarakat India di negara ini. Saya akan melakukan yang terbaik,” katanya.

Bersempena dengan sambutan Deepavali, Ahli Parlimen Sungai Buloh itu menyeru rakyat bersama-sama memperkukuhkan lagi hubungan antara kaum yang menjadi teras utama kekuatan dan kehebatan negara.

“Saya berharap sambutan tahun ini akan memberikan, mencetuskan dan membentuk satu harapan ‘cahaya nambikei (harapan) baharu’ dalam kehidupan, kesejahteraan, kemakmuran dan juga masa depan komuniti India di negara ini.

“Sempena perayaan Deepavali tahun ini, marilah kita bersama, bersatu dan berganding bahu antara satu sama lain untuk mara ke depan bagi memastikan masa depan yang lebih bermakna untuk kita semua seperti sifat cahaya yang menerangi,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan