AM > BERITA

Maheswary Cipta Kelainan Jual Kunafa Sebagai Manisan Sempena Deepavali 

29/10/2024 01:09 PM

Oleh Sarinah Mat Kasim

SEREMBAN, 29 Okt (Bernama) -- Seorang pengusaha restoran di sini mencipta kelainan apabila menjual kunafa sempena sambutan perayaan Deepavali tahun ini berikutan populariti pencuci mulut dari Timur Tengah itu dalam kalangan rakyat Malaysia.

Keputusan P Maheswary, 49, ternyata tepat apabila gerai kunafa miliknya di Karnival Deepavali Negeri Sembilan di sini mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan yang sanggup beratur sejak mula dibuka pada 22 Okt lepas.

Maheswary yang menggunakan jenama VM Kunafa berkata dia tidak menyangka dapat menjual hampir 100 kunafa pelbagai perisa pada setiap malam di karnival itu yang terletak di Jalan Dato Lee Fong Yee. 

"Biasanya ketika Deepavali, manisan tradisional seperti ladu, chittu urundai, jalebi dan athirasam menjadi pilihan, namun kali ini saya bawa kelainan dengan memperkenalkan kunafa. Saya tidak sangka sambutan sangat memberangsangkan," kata ibu kepada empat anak itu kepada Bernama di sini.

Maheswary berkata dia dan anak lelakinya P Ganabathiharasan yang juga lulusan seni kulinari di sebuah kolej swasta hanya mengambil masa dua bulan mempelajari teknik membuat manisan itu menerusi media sosial.

Berbekalkan inspirasi daripada seorang pempengaruh media sosial yang terkenal dengan perniagaan kunafa, beliau melancarkan jenama VM Kunafa pada September lepas dan menerima sambutan luar jangka daripada penggemar manisan.

"Kita menawarkan pelbagai perisa menarik iaitu coklat putih, red velvet berkeju, pistachio dan coklat gelap yang dijual pada harga RM25 setiap satu," katanya yang berpengalaman 15 tahun dalam bidang perniagaan.

Maheswary berkata sambutan baik yang diterima memberikan keyakinan kepadanya untuk terus mengembangkan jenama VM Kunafa, sekali gus menawarkan kelainan dalam pilihan manisan setiap kali  perayaan.

"Deepavali kali ini bukan sahaja dipenuhi dengan kemeriahan pakaian dan kuih tradisi, tetapi juga membuka peluang untuk saya memperkenalkan manisan kunafa jenama sendiri, berbeza daripada kebiasaan sambutan," katanya. 

Sementara itu,  S Vanita, 35, berkata dia tertarik memilih kunafa sebagai manisan untuk disajikan pada perayaan kali ini bersama keluarga kerana populariti pemanis mulut Timur Tengah itu. 

"Saya sudah membuat tempahan kunafa untuk hidangan pada pagi raya sebab anak-anak suka makan, lain daripada yang lain. Bagaimanapun kuih tradisional tetap wajib ada," kata ibu tiga anak itu yang akan menyambut perayaan Deepavali di kampungnya di Rantau.

Lim Chang Hin, 32, berkata sebelum ini dia pernah membeli secara dalam talian namun kali ini dia teruja dapat merasai kunafa yang baharu keluar dari ketuhar dan ia sangat enak. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan