AM > BERITA

Aduan Infrastruktur SK Presint 16 Diteliti - PM Anwar

29/10/2024 03:33 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua aduan mengenai infrastruktur Sekolah Kebangsaan (SK) Presint 16 yang memerlukan pembaikan segera akan diteliti.

Beliau berkata ini merupakan langkah yang selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk memartabatkan pendidikan anak-anak dan melahirkan generasi yang hebat serta bertanggungjawab terhadap nusa dan bangsa.

Perdana Menteri berkata aduan itu disampaikan oleh guru-guru SK Presint 16 kepada Setiausaha Politiknya Kamil Munim yang wakili beliau dalam pertemuan dengan adik Ummu Qaireen Muhamad Hanis di sekolah tersebut, sempena menyambut ulang tahun kelahiran ke-10, Jumaat lepas.

“Dalam kunjungan ke SK Presint 16 hari ini, saudara Kamil turut menggunakan kesempatan itu untuk meninjau persekitaran sekolah dan beramah mesra bersama guru dan anak-anak pelajar,” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebooknya. 

Anwar berkata ketika makan tengah hari di Medan Selera Presint 16, Putrajaya beberapa hari lepas, beliau juga sempat menyanyikan lagu ‘Selamat Hari Lahir’ bersama rakan-rakan Ummu Qaireen.

“Saya mendoakan anakanda Ummu Qaireen dan seluruh anak-anak pelajar membesar menjadi anak yang soleh dan solehah, serta menyumbang kepada keluarga dan ummah, Insya-Allah,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Belanjawan 2025 memberi fokus penting kepada pendidikan menerusi peruntukan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM64.1 bilion dengan RM2 bilion dikhususkan untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah di seluruh negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan