KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah menugaskan seramai 2,752 pegawai dan anggota di seluruh negara untuk memastikan kelancaran pergerakan lalu lintas sempena cuti Deepavali dan hujung minggu.
Pengarah JSPT Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata aliran trafik dijangka meningkat sepanjang tempoh cuti Deepavali disebabkan oleh tawaran tol percuma yang diberikan untuk hari ini dan esok sempena perayaan tersebut.
“JSPT menjangkakan aliran trafik akan sesak dengan pertambahan jumlah kenderaan. Melalui maklumat daripada pihak Konsesi Lebuhraya Utama (PLUS) dan lebuh raya konsesi yang lain, jangkaan 2.62 juta kenderaan dalam tempoh sehari.
“Pihak PLUS Berhad juga akan mengaktifkan 21 lokasi smartlane bagi mengurangkan kesesakan di lebuhraya,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pihaknya juga menjangkakan pergerakan ke Pantai Timur, Utara dan Selatan tanah air bakal meningkat secara luar biasa serta peningkatan ketara pergerakan kenderaan di bahagian Pantai Barat seperti di Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perak dan Pulau Pinang.
“Dari segi penguatkuasaan pula, keutamaan difokuskan kepada elemen advokasi, penyuraian aliran trafik dan tindakan kepada pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.
Mohd Yusri turut menyarankan kepada semua pengguna jalan raya khasnya kenderaan berat atau perdagangan untuk memastikan kenderaan mereka berada di tahap terbaik, mematuhi segala peraturan ditetapkan, bertimbang rasa dan bertolak ansur dengan pengguna lain.
“Semua pengguna jalan raya diseru untuk merancang dahulu pergerakan terutama perjalanan yang jauh. Peka dengan persekitaran dan maklumat semasa daripada pihak agensi kerajaan juga pihak konsesi lebuhraya,” katanya.
Semalam, Bernama melaporkan aliran trafik dijangka meningkat mulai hari ini dengan jangkaan 2.62 juta kenderaan sehari akan menggunakan lebuh raya utama menuju pantai timur, utara dan selatan, susulan sambutan Deepavali.
Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya (LLM) Datuk Sazali Harun berkata 2.13 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya di bawah kumpulan PLUS, 198,000 (Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak), 78,220 (Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1), 59,220 (Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2) dan 153,700 menggunakan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial