AM > BERITA

Kelantan Peruntuk RM500,000 Bantu Pesakit Kanser Payudara

29/10/2024 04:44 PM

KOTA BHARU, 29 Okt (Bernama) -- Kerajaan Kelantan memperuntukkan RM500,000 bagi tujuan berkaitan kanser payudara di Kelantan termasuk program advokasi, seminar kesihatan, kempen kesedaran dan skim bantuan pesakit kanser payudara.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan Rohani Ibrahim berkata menerusi skim bantuan itu seramai 370 pesakit kanser yang layak dan dikenal pasti akan menerima bantuan tunai sekali bayar sebanyak RM500.

Beliau berkata mengikut sumber Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), satu daripada 18 wanita di negara ini berisiko mendapat kanser payudara dengan daripada jumlah itu, 43 peratus dikesan pada tahap lewat iaitu tahap tiga dan empat.

“Menerusi maklumat itu, Kerajaan Negeri mula mengambil langkah lebih konsisten dan agresif bagi membantu golongan wanita di negeri ini terutama dalam hal berkaitan kanser payudara dengan memperuntukkan sebanyak RM500,000.

“Pada tahun ini kita turut menjalinkan kolaborasi dengan 10 Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Pusat Sumber Kanser Payudara Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) dan Pusat Perubatan An-Nisa’ selari dengan tujuan ini,” katanya.

Rohani berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir di Majlis Perasmian Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara.

Sementara itu, panel forum khas yang juga pejuang pesakit kanser payudara Norzulwati Zulkifli, 41, berkata kesedaran, pendidikan awal dan pemeriksaan berkala kesihatan diri terutama di bahagian payudara wanita penting bagi mengurangkan risiko dan meningkatkan peluang penyembuhan.

“Sebaik mendapati terdapat ketulan sebelah kanan pada Feb tahun lepas di HPUSM dan hasil pemeriksaan dilakukan menerusi mamogram, ultrasound serta ujian biopsi mengambil masa sekitar dua minggu, saya didapati positif," kata ibu kepada tiga anak dan mendapat sokongan suami Mohd Rizuadi Rahim, 45.

Kanser tahap dua itu tidak mematahkan semangat Norzulwati, malah beliau yang sudah menjalani pembedahan membuang payudara berkenaan pada Mac tahun lepas turut menjalani sesi kimoterapi dan memakai prothesis atau dikenali sebagai payudara palsu.

“Sokongan daripada doktor yang merawat bukan sahaja dalam memberi rawatan, tetapi juga membolehkan saya membuat keputusan lebih baik," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan