KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Penghantaran dan penugasan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) di selatan Lubnan bagi misi pengaman akan diteruskan, dengan pasukan MALBATT 850-12 dijadualkan berlepas secara berperingkat mulai 6 hingga 18 Nov ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata keputusan tersebut diambil setelah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), melalui Markas Angkatan Bersama, menerima makluman bahawa Force Commander Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) telah menetapkan tarikh pertukaran bagi semua pasukan UNIFIL, termasuk pasukan MALBATT 850-11 yang kini beroperasi di selatan Lubnan.
"Penerimaan pasukan MALBATT 850-11 secara berperingkat dari 7 hingga 19 Nov ini.
"Pasukan MALBATT 850-12 akan meneruskan tugas dan tanggungjawab Pasukan MALBATT 850-11 di bawah panji-panji serta mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagaimana protokol dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pasukan UNIFIL," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan MALBATT 850-11 atas prestasi cemerlang mereka sepanjang menjalankan tugas di kawasan tanggungjawab, dan berharap pasukan MALBATT 850-12 dapat meneruskan kecemerlangan tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial