AM > BERITA

Deepavali: Hari Untuk Perkukuh Perpaduan Kaum - Menteri Kabinet

30/10/2024 09:57 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Sambutan perayaan Deepavali yang akan diraikan esok perlu menjadi hari untuk mempererat dan memperkukuh lagi perpaduan dan keharmonian antara kaum di negara ini, demikian mesej yang disampaikan beberapa Menteri Kabinet bersempena dengan pesta cahaya itu.

 Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata Deepavali bukan sahaja dirayakan oleh penganut Hindu, tetapi ia juga merupakan satu kesempatan untuk semua rakyat berbilang kaum dan agama untuk bersama-sama meraikan kepelbagaian budaya yang dimiliki.

“Dalam konteks negara kita, yang kaya dengan warisan dan tradisi berbeza, adalah penting bagi kita untuk menghormati dan menghargai setiap perayaan yang disambut oleh semua lapisan masyarakat.

“Dalam semangat Deepavali, kita harus memperkukuh ikatan silaturahim antara satu sama lain, tidak mengira agama, bangsa, atau budaya. Inilah masanya kita merayakan kepelbagaian yang menjadi kekuatan negara kita dan mengeratkan perpaduan yang telah lama terjalin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata sebagai pewaris negara, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk terus mengekalkan perpaduan yang dinikmati hari ini.

“Dengan memupuk semangat inklusif dan hormat-menghormati, kita perlu memastikan asas perpaduan Malaysia tetap kukuh, supaya kemajuan dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat.

“Semoga Deepavali tahun ini mengingatkan kita semua untuk memperkukuh perpaduan, memperdalam rasa hormat antara satu sama lain, dan memperbaharu tekad kita untuk membawa negara ke arah yang lebih cemerlang,” katanya dalam kenyataan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing yang turut mengucapkan selamat menyambut Deepavali menerusi hantaran di Facebook, mahu pesta cahaya diraikan dengan menghayati semangat perpaduan, keharmonian dan kepelbagaian budaya yang menjadikan Malaysia benar-benar unik.

Turut mengucapkan selamat menyambut Deepavali ialah Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang menasihati semua supaya berhati-hati di jalan raya. 

Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut mengucapkan selamat menyambut Deepavali kepada seluruh penganut Hindu di Malaysia.

“Thittikkum Iniya Deepavali Nal Valthukkal!,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Turut mengucapkan selamat menyambut Deepavali Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching yang menyeru agar masyarakat mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat ketika menyambut perayaan itu.

“Malaysia memang kaya dengan pelbagai perayaan. Setiap perayaan datang dengan pelbagai juadah yang sedap. Sesuai dengan saranan kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang lebih sihat.

“Jadi saya ingin ambil kesempatan ini untuk mengajak semua orang mengurangkan manisan dalam minuman dan makanan,” katanya menerusi hantaran video berdurasi satu minit 32 saat di Facebook.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad turut mengucapkan selamat menyambut Deepavali.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan