AM > BERITA

BOHEX 2024 Dijangka Tarik Kehadiran 100,000 Pengunjung

31/10/2024 06:34 PM

KOTA KINABALU, 31 Okt (Bernama) -- Sebanyak 100,000 pengunjung dijangka menghadiri Pameran Antarabangsa Halal Borneo (BOHEX) 2024 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada 21 hingga 25 Dis ini.

Pengarah Urusan Eminent Source Sdn Bhd Mohd Arieef Hafizi Mohd Hashim berkata sebanyak 500 tapak pameran akan disediakan, dan terdapat pihak luar negara menunjukkan minat menyertai BOHEX  antaranya dari Indonesia, Brunei, Singapura, China, Thailand, Jepun dan Arab Saudi.

Beliau berkata BOHEX diuruskan syarikat berkenaan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Kita tidak tertumpu kepada produk makanan semata-mata, kita juga ada pakaian, logistik dan pelbagai lagi. Apa yang ada pada konsep halal berkenaan, kita sediakan sesuai dengan halal itu, yang merangkumi pengertian amat luas.

“Kita juga ada berjumpa dengan pihak seperti FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) untuk lakukan kerjasama antara lain membantu peniaga IKS (Industri Kecil dan Sederhana) pada BOHEX kali ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata sepanjang BOHEX, pihaknya akan menyediakan pengangkutan bas percuma dari enam lokasi di sekitar bandar raya Kota Kinabalu ke SICC iaitu di kompleks beli-belah Suria Sabah, IMAGO, 1Borneo dan ITTC, serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Pan Borneo Hotel.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan