AM > BERITA

Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua: Penyelesaian Ideal Kesesakan, Bantu Penyuraian Trafik

01/11/2024 08:47 AM

Oleh Erma Idayu Mohd Yusop

BUKIT MERTAJAM, 1 Nov (Bernama) -- Projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua di sini yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 merupakan penyelesaian ideal bagi masalah kesesakan lalu lintas sekali gus menyediakan keterhubungan dan keselesaan kepada pengguna di Pulau Pinang.

Kawasan terutamanya laluan di Seberang Jaya sering mengalami kesesakan lebih-lebih lagi ketika waktu puncak pada pagi dan petang berikutan ribuan kenderaan termasuk motosikal menggunakan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bagi laluan Juru-Sungai Dua untuk ke tempat kerja.

Kebanyakan laluan di antara dua kawasan berkenaan kini sudah tidak lagi mampu menampung bilangan trafik sehingga menyebabkan kesesakan yang berpunca akibat konflik laluan di PLUS (Juru-Sungai Dua) dan Jambatan Pulau Pinang serta Perai.

Sehubungan itu, rata-rata pakar pengangkutan berpendapat projek yang mendapat 'lampu hijau' daripada kerajaan Persekutuan MADANI menjadi jalan keluar kepada impak sistem rangkaian jalan yang telah menyebabkan penguraian trafik berada pada tahap kurang sempurna sebelum ini.

Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Nur Sabahiah Abdul Sukor menyifatkan Projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua sangat bertepatan untuk mengatasi kesesakan trafik, khususnya laluan di kawasan Seberang Perai.

Nur Sabahiah yang juga penyelidik dalam kejuruteraan pengangkutan berkata kesesakan trafik di jajaran Juru ke Sungai Dua dan sebaliknya sangat meruncing lebih-lebih lagi pada waktu puncak.

"Projek itu bukan sahaja bermanfaat kepada penduduk Pulau Pinang yang setiap hari berulang-alik ke tempat kerja masing-masing tetapi dapat mengurangkan kesesakan trafik di laluan berkenaan pada musim cuti dan perayaan.

"Bagaimanapun, diharap kerajaan Pulau Pinang akan terus komited meningkatkan kebolehcapaian pengangkutan awam di kawasan berkenaan," katanya kepada Bernama.

Nur Sabahiah berkata ketika ini, kemalangan di jajaran lebuh raya sedia ada sangat membimbangkan dan kerajaan negeri juga perlu mempunyai matlamat yang selari antara mengurangkan kesesakan trafik dan meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di lebuh raya di negeri itu.

Turut senada, penganalisis dan pakar sistem pengangkutan Abi Sofian Abdul Hamid yang berkata secara kasarnya projek itu membolehkan pengurusan trafik dilaksanakan dengan lebih cekap selain menangani isu kesesakan yang dikatakan semakin teruk sejak kebelakangan ini.

"Projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua itu sudah pasti dapat membantu penyuraian trafik terutama bagi jangka panjang dan ini akan memberikan impak positif kepada pengguna yang menggunakan laluan berkenaan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua berupaya memisahkan trafik tempatan dengan trafik terus menghala ke bahagian utara atau selatan.

"Ia akan memisahkan trafik tempatan iaitu kenderaan yang ingin kawasan-kawasan tempatan dengan trafik iaitu kenderaan yang menghala terus ke bahagian utara atau selatan dan ini sedikit sebanyak akan mengurangkan kesesakan lalu lintas yang dialami sekarang memandangkan kedua-dua trafik itu terpaksa berkongsi jalan yang sama," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Okt lepas mengumumkan pelaksanaan beberapa projek di Pulau Pinang antaranya Lebuh Raya Bertingkat Juru dan Sungai Dua, Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang serta pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Projek Batu Kawan Industrial Park 3.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ia dijangka dilaksanakan secara Perkongsian Awam Swasta atau Public Private Partnership (PPP) dengan PLUS dan Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS) bersama beberapa agensi-agensi berkaitan sedang meneliti pelaksanaan projek berkenaan.

Sebelum ini, Chow memohon kepada kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek itu berikutan aliran trafik yang semakin mendesak malah perkara berkenaan telah dibangkitkan kepada Perdana Menteri dalam Taklimat Pembangunan Pulau Pinang di Komtar pada April lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan