PUTRAJAYA, 1 Nov (Bernama) -- Semua pihak digesa untuk menghormati langkah kerajaan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan dalam usaha mengangkat martabat dan kedudukan institusi mufti selaras Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan akta yang berkuat kuasa di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Presiden Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) Abu Suffian Abu Yaziz dalam kenyataan berkata RUU itu diwujudkan berdasarkan lunas undang-undang sedia ada sepertimana diperuntukkan dalam Jadual Kesembilan Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya menolak sebarang desakan oleh mana-mana pihak supaya menteri agama dan mufti Wilayah Persekutuan meletakkan jawatan disebabkan perbezaan pendekatan ijtihad dan khilaf pandangan dalam memuktamadkan isu berkaitan RUU berkenaan.
"Sewajarnya perbezaan ini menjadi adab yang perlu disantuni lebih-lebih lagi dalam merapatkan jurang perbezaan, kecelaruan pemikiran, fahaman dan iktikad dalam kalangan umat Islam mutakhir ini.
"Sebagai yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pentadbiran Islam, kehakiman, perundangan syariah, pengurusan haji, umrah dan lain-lain, desakan sedemikian bukanlah suatu amalan yang sihat dan profesional dalam pengurusan dan kepemimpinan organisasi, melainkan jelas perkara tersebut melibatkan isu pelanggaran tatakelola atau terbukti tidak kompeten," katanya.
Abu Suffian berkata semua pihak turut diminta supaya segera menghentikan tindakan menghasut dan menanam kebencian umat Islam terhadap kedudukan menteri dan mufti Wilayah Persekutuan yang bertanggungjawab dan jelas sedang melaksanakan gagasan Pelan Transformasi al-Falah dalam pentadbiran Islam Syariah, pentadbiran hal ehwal Islam dan lain-lain.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Setiausaha Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU) Norzaidan Hamad berkata pihaknya memandang serius gesaan pihak yang mengusulkan penggantian mufti Wilayah Persekutuan dan menteri agama susulan isu pindaan RUU itu.
"Saranan sebegini bukan sahaja tidak menghormati kepimpinan dan institusi agama yang menjadi tunjang keharmonian masyarakat Islam, tetapi juga berpotensi menghakis kepercayaan awam terhadap institusi agama yang menjadi rujukan umat Islam.
"PKPU menolak sebarang desakan tidak berasas untuk menggantikan Mufti Wilayah Persekutuan atau menteri agama semata-mata atas isu perbezaan pendekatan atau pandangan," katanya.
Norzaidan berkata pihaknya turut memohon semua pihak untuk terus memberikan dokongan terhadap cadangan pindaan RUU Mufti Wilayah Persekutuan sebagai suatu langkah strategik memperkukuh institusi agama di Malaysia.
"Dengan sokongan yang padu, kita dapat memastikan bahawa institusi agama terus berfungsi dengan efektif, menjunjung tinggi nilai keadilan dan menjaga keharmonian masyarakat MADANI," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial