ALOR SETAR, 1 Nov (Bernama) -- Hanya dengan menggunakan bahan kitar semula sebagai bayaran premium tahunan, masyarakat kini boleh menikmati pelbagai faedah menerusi program insurans kemalangan diri 'Trash4protection' yang diperkasakan menerusi program kitar semula Trash4cash.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata program yang baharu diperkenalkan itu menawarkan faedah yang menarik iaitu hanya dengan membawa bahan kitar semula bernilai RM12 seorang setahun, individu layak menikmati perlindungan insurans berkenaan.
"Ini merupakan satu inisiatif kitar semula paling inovatif yang mampu memberikan perlindungan asas kemalangan diri khususnya kepada rakyat yang kurang berkemampuan kerana faedah yang diterima oleh penduduk melalui program itu sangat bagus.
"Antara faedah yang akan diperolehi adalah kematian akibat kemalangan sebanyak RM5,000, pampasan kecacatan kekal akibat kemalangan RM5,000, kos pengebumian jenazah akibat kemalangan RM1,000, kos rawatan akibat kemalangan RM500 dan elaun kemasukan hospital akibat kemalangan RM30 sehari sehingga 10 hari," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Automatik (ADTReC) Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Derga di pekarangan Dewan Dato Syed Omar.
Persatuan penduduk kampung itu merupakan yang pertama di Kedah berjaya memperoleh geran Sejati MADANI di bawah sektor aktiviti hijau dan kitar semula.
"Saya ingin menyeru JPKKP di seluruh negara untuk mencontohi JPKKP Kampung Derga yang merupakan perintis kepada program ini…saya juga dimaklumkan 40 JPKKP dan lima persatuan penduduk di Kedah telah memohon dana Sejati MADANI di bawah sektor aktiviti hijau dan kitar semula Trash4cash dengan 23 daripadanya telah mendapat kelulusan.
"Pada masa ini, kadar kitar semula kebangsaan masih rendah iaitu 37 peratus dan kita sasarkan untuk capai 40 peratus tahun hadapan dan saya yakin ia mampu dicapai dengan adanya geran Sejati MADANI ini...kita semua perlu beri kerjasama dengan melaksanakan aktiviti 3R (pengurangan, guna semula, kitar semula)," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata penggunaan teknologi digital dan teknologi hijau dalam ekosistem kitar semula Trash4cash sangat bertepatan dengan peralihan tenaga masa kini iaitu menggunakan aplikasi seperti fasiliti ADTReC serta SMART Used Cooking Oil Recycling Bin yang dapat membantu memudahkan proses kitar semula.
"Keupayaan teknologi ini membolehkan pihak persatuan dan masyarakat memantau serta mengurus aktiviti kitar semula harian serta data ini penting bagi kerajaan dalam merangka pembangunan fasiliti pengurusan sisa pepejal yang lebih holistik pada masa hadapan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial