AM > BERITA

Melaka Pertingkat Kualiti Infrastruktur Pelancongan Menjelang WTD, WTC 2025

01/11/2024 07:32 PM

MELAKA, 1 Nov (Bernama) -- Melaka akan mempertingkatkan kualiti semua infrastruktur pelancongan di negeri berkenaan menjelang penganjuran Hari Pelancongan Dunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC), pada September 2025.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata inisiatif berkenaan, dilakukan bagi memastikan kesemua lokasi pelancongan terlibat menjadi daya tarikan bertaraf dunia, kerana penganjuran WTD dan WTC 2025 bakal menggamit kedatangan ramai pelancong antarabangsa.

“Pastinya Melaka dari awal lagi akan melihat kepada semua sudut persediaan untuk sambutan WTD dan WTC 2025, kerana sebagai tuan rumah penganjuran program bertaraf dunia itu adalah satu pengiktirafan kepada Malaysia.

“Justeru pada September tahun hadapan, Melaka akan menjadi tumpuan dan antara inisiatif yang diambil kerajaan negeri ialah mempertingkatkan kualiti infrastruktur pelancongan,” katanya kepada pemberita di Bukit Beruang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Monumen Bendera Gergasi Bukit Beruang yang dikenali sebagai Puncak Laksamana setinggi 65 meter dan dilengkapi dengan dek peninjau.

Ab Rauf berkata tumpuan juga akan diberikan kepada penambahbaikan sektor ekopelancongan di bawah empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri berkenaan, bagi menarik pelancong domestik.

Beliau berkata sebagai contoh bagi kawasan Alor Gajah, perkhidmatan bot di Eco Tourism Paya Lebar akan dipertingkatkan oleh Majlis Perbandaran Alor Gajah, manakala di Taman Ekstrem Tasik Chinchin di Jasin akan dinaik taraf dengan perkhemahan glamor dan tapak karavan bertaraf dunia di bawah Majlis Perbandaran Jasin.

“Di bawah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) pula, Melaka River Cruise fasa dua sepanjang lima kilometer akan diwujudkan, sebagai daya tarikan pelancong yang baharu.

“Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) akan menambah baik kawasan Puncak Laksamana dengan aktiviti perkhemahan glamor, sementara Zoo Melaka akan dijadikan kawasan zoo safari melibatkan penambahan kawasan seluas 8.09 hektar,” katanya.

Terdahulu, Ab Rauf berkata Puncak Laksamana mula dibangunkan pada 30 Mei dan siap pada 23 Ogos lepas akan diserahkan kepada MPHTJ, dan menjadi daya tarikan baharu untuk pendaki di bukit berkenaan sambil meneroka alam semula jadi dari puncak berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan