AM > BERITA

Bau Busuk Rumah Jiran Terungkai, Mayat Lelaki Ditemukan

02/11/2024 05:02 PM

KOTA BHARU, 2 Nov (Bernama) -- Misteri bau busuk dihidu jiran terungkai dengan penemuan mayat seorang lelaki berusia 53 tahun di sebuah rumah di Taman Selasih, Tanah Merah, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Supt Mohd Haki Hasbullah berkata berdasarkan maklumat diterima, pihaknya telah pergi ke rumah itu dan mendapati lelaki terbabit meninggal dunia di dalam bilik tidur di tingkat atas rumah.

"Hasil siasatan, si mati tinggal bersama bapanya berusia lingkungan 90-an yang telah nyanyuk menyebabkan polis terpaksa memecahkan pintu rumah untuk membuat pemeriksaan.

"Siasatan awal mendapati kematian itu tidak mempunyai sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan mempercayai lelaki itu meninggal dunia sejak lima hari lepas berdasarkan keadaan mayat yang berbau dan berulat.

Mayat katanya dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan