AM > BERITA

HOMEDEC 2024 Anjur Meja Bulat Mengenai Penipuan Pengubahsuaian Kediaman

03/11/2024 10:42 AM

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Pameran HOMEDEC 2024 yang berlangsung dari 31 Okt hingga esok di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur turut menganjurkan sesi meja bulat untuk menangani isu penipuan pengubahsuaian kediaman yang semakin meningkat.

Penganjur pameran C.I.S Network Sdn Bhd (C.I.S) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan sesi bertajuk 'Navigating Professional Design Services: A Homeowner's Guide' itu bertujuan mendidik pemilik rumah dengan ilmu bagaimana mengelak menjadi mangsa penipuan semasa proses pengubahsuaian kediaman.

“Meja bulat itu membincangkan lima aspek utama untuk membantu pemilik rumah iaitu menyemak kelayakan dan mengupah profesional, mengenal pasti sebarang penipuan, mengendalikan pertikaian dan mendapatkan ganti rugi, piawaian industri - keselamatan diutamakan dan bagaimana industri melindungi pemilik rumah," menurut kenyataan itu.

Sesi itu menampilkan panel pakar industri termasuk Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Kuala Lumpur Datuk Dr Gerald Sundaraj, Presiden Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) Prof Adrianta Aziz, Presiden Institut Rekabentuk Dalaman Malaysia (MIID) Dr Ooi Boon Seong dan Presiden Persatuan Rakan Industri Rekabentuk Dalaman Malaysia (MIIP) Elvin Tay.

Meja bulat berkenaan turut mengetengahkan beberapa tanda amaran penipuan bagi membolehkan pemilik rumah berwaspada termasuk tawaran yang tidak diminta, taktik tekanan, harga yang tidak masuk akal, dokumen tidak lengkap selain pembayaran tunai sahaja.

“Untuk mengelak ditipu, pemilik rumah perlu buat kajian teliti dengan menyemak bukti kelayakan kontraktor dan melihat maklum balas pelanggan terdahulu, membandingkan sebut harga daripada beberapa kontraktor sebelum membuat keputusan dan memastikan kontraktor berdaftar dengan pihak berkuasa yang berkaitan seperti CIDB.

“Selain itu, simpan semua rekod bertulis dan perjanjian termasuk kos dan tempoh projek siap serta membuat bayaran untuk kerja-kerja yang sudah siap sahaja … ,” menurut kenyataan itu.

Pameran HOMEDEC 2024 mempamerkan rumah contoh, menganjurkan bengkel dan menyediakan platform untuk pemilik rumah mendapatkan pandangan daripada pakar industri serta menampilkan pameran baharu tentang reka bentuk rumah mampan, mencerminkan perkembangan trend ruang kediaman mesra alam.

Perkembangan pesat pasaran hartanah di Malaysia membolehkan HOMEDEC muncul sebagai destinasi pilihan untuk pemilik kediaman mencari inspirasi reka bentuk, penyelesaian dan kemampuan dalam pengubahsuaian serta dekorasi. 

Jualan hartanah tahunan pada 2024 meningkat kepada RM100.5 bilion pada Jun, menunjukkan permintaan kukuh untuk produk berkualiti, reka bentuk dan hiasan dalaman.

Sejak 2003, HOMEDEC telah membimbing lebih empat juta pemilik rumah bersama 20,000 pempamer dengan ilmu dan mencetuskan inspirasi bagaimana membina kediaman idaman.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan