AM > BERITA

24 Projek KKDW Yang Tertangguh Sejak 2016 Hingga 2022 Siap Sebelum RMK13 - Ahmad Zahid

03/11/2024 03:37 PM

KUCHING, 3 Nov (Bernama) -- Sejumlah 24 projek Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Sarawak yang tertangguh sejak 2016 hingga 2022, akan diberi keutamaan dan siap sepenuhnya sebelum pelancaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata peruntukan kira-kira RM1.4 bilion diperlukan, bagi pelaksanaan kesemua projek berkenaan yang kebanyakannya melibatkan di kawasan luar bandar. 

“Ada juga beberapa jumlah lain yang sedang kami muktamadkan. Kita juga ada pendekatan (untuk menilai semula jumlah peruntukan) disebabkan kos pembinaan dan kos bahan binaan meningkat, maka ini kita akan bincangkan dalam mesyuarat melibatkan kementerian dan agensi pusat dijadualkan dua minggu lagi di Kuala Lumpur.

“Aspek lain seperti pengambilan tanah akan diselesaikan oleh kerajaan negeri terlebih dahulu menerusi agensi sendiri yang mempunyai dana awalan, bagi menyelesaikan masalah sedemikian,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Taklimat Pelaksanaan Projek Pembangunan Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata projek Jalan Perhubungan Desa (JPD), menjadi antara keutamaan yang perlu disegerakan bagi memudahkan rakyat dari pekan kecil dan bandar tertentu memasuki jalan utama serta Lebuhraya Pan Borneo.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan sejumlah RM85 juta bagi kerja-kerja menaik taraf jalan balak di negeri itu, yang dijangka selesai sepenuhnya tahun ini. 

Terdahulu, dalam talimat berkenaan Ahmad Zahid menerima gambaran terkini prestasi pelaksanaan projek pembangunan KKDW oleh agensi pelaksana negeri seperti projek Jalan Luar Bandar (JALB), Jambatan Luar Bandar (JMLB), Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dan Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB).

Selain itu, empat agensi pelaksana program pembangunan KKDW di Sarawak turut menyampaikan taklimat dalam sesi tersebut iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak dan Bahagian Teknikal, KKDW.

Sementara itu, KKDW dalam kenyataan hari ini memaklumkan sejumlah RM713.16 juta diperuntukkan di bawah pembangunan Pelan Boleh Pinda ke-4 (RP4) RMK12 bagi tahun ini, melibatkan 292 projek iaitu 70 projek baharu serta 222 projek sambungan.

“Manakala prestasi pelaksanaan projek sehingga 21 Okt ini mencatatkan projek prapelaksanaan sebanyak 195 projek, projek dalam pelaksanaan 69 dan pascapelaksanaan sebanyak 26 projek,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan