GUA MUSANG, 3 Nov (Bernama) -- Masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Gob yang terdiri daripada kira-kira 1,000 penduduk berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan awal sebelum musim tengkujuh bagi mengatasi masalah kerosakan jalan utama ketika hujan.
Jati Roslan, 32, berkata penduduk terpaksa menggunakan laluan itu kerana ia satu-satunya akses untuk mereka melakukan urusan harian dan adakalanya terpaksa meredah jalan berlumpur atau berdepan situasi tayar motosikal terbenam di dalam lecah.
"Motosikal kami juga kerap rosak selepas meredah jalan itu kerana ada beberapa tempat yang mempunyai lumpur sangat tebal sehingga mencecah rantai dan apabila hujan, jalan yang akan mengalami kerosakan teruk bermula dari Kampung Tembaga hingga ke Kampung Gob," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Penduduk Kampung Kacheng, Jarinah Along, 28, pula berkata pada musim hujan, mereka akan membawa beberapa kelengkapan setiap kali keluar sebagai persiapan jika terkandas di tengah hutan.
"Pengalaman sebelum ini membuatkan kami sentiasa bersiap sedia dengan membawa khemah dan kain untuk dijadikan alas selain makanan ringan serta lampu jika terperangkap di tengah hutan atau terkandas dalam perjalanan pulang selepas selesai urusan harian," katanya.
Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, tinjauan beliau di beberapa lokasi sepanjang laluan ke Pos Gob mendapati tindakan segera perlu diambil kerana ia merupakan jalan perhubungan untuk kanak-kanak ke sekolah dan membawa pesakit bagi kes kecemasan.
"Perbincangan bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Jabatan Kemajuan Orang Asli akan diadakan dan kita harap agensi mempunyai perancangan untuk baik pulih tiga kawasan yang telah dikenal pasti mengalami kerosakan teruk," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial