AM > BERITA

Lelaki Mati Dibunuh, Isteri Antara Empat Ditahan Bantu Siasatan

03/11/2024 10:36 PM

LAHAD DATU, 3 Nov (Bernama) -- Isteri mangsa antara empat individu ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun di sebuah simpang di Batu 3, Jalan POIC di sini, Khamis lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu Supt Jimmy Panyau berkata pihaknya menerima laporan daripada isteri mangsa pada pukul 12,43 tengah hari pada hari kejadian dengan mendakwa suaminya meninggal dunia akibat dipercayai dibunuh.

Menurutnya pemeriksaan lanjut ke atas mangsa mendapati terdapat kesan kesan tikaman di dagu sebelah kanan, tetakan di belakang kepala dan dahi kiri serta lebam di dada kanan, bahagian belakang dan pinggang.

“Mayat terbabit kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Lahad Datu untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jimmy berkata susulan kejadian itu, dua suspek lelaki dan isteri mangsa ditahan pada hari kejadian manakala seorang lagi suspek lelaki ditahan semalam.

Beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut dan pihaknya sedang menjalankan siasatan secara terperinci daripada pelbagai sudut.

Katanya kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan