Daripada S. Kisho Kumari
ISTANBUL, 4 Nov (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, yang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Turkiye, menghadiri sesi perjumpaan dengan pelajar dan diaspora Malaysia di negara itu malam tadi.
Majlis berkenaan dihadiri 30 pelajar dan diaspora Malaysia serta pegawai Kedutaan Malaysia di negara itu, termasuk Duta Besar Malaysia ke Turkiye Sazali Mustafa Kamal.
Turut hadir lapan delegasi dari Malaysia terdiri daripada pelbagai agensi di bawah Kementerian Komunikasi.
Fahmi meluangkan masa kira-kira tiga jam pada majlis perjumpaan yang juga makan malam itu dan mengambil kesempatan menjelaskan isu terkini yang berlaku di Malaysia termasuk kesalinghubungan Internet, kepengerusian ASEAN dan perkembangan BRICS.
Acara itu juga menjadi platform kepada beliau mendengar dan berkongsi pandangan dengan 30 pelajar dan diaspora Malaysia yang berada di Turkiye.
Fahmi tiba di Istanbul pada 2 Nov bagi lawatan kerja hingga 5 Nov serta untuk menghadiri Sesi Ke-40 Jawatankuasa Tetap Kerjasama Ekonomi dan Komersial (COMCEC) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Beliau juga dijadualkan memberi kenyataan sebagai wakil Kumpulan Asia negara-negara anggota OIC di COMCEC dan menjadi antara tiga wakil selain Qatar serta Senegal.
Kunjungan ini merupakan kali pertama dalam tempoh 40 tahun seorang menteri Malaysia ke COMCEC yang kali terakhir dihadiri Tengku Razaleigh Hamzah pada 1984.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial