AM > BERITA

LHDN Tidak Pernah Hantar Pautan Status Bayaran Balik Melalui Portal MyTax

04/11/2024 11:13 AM

PUTRAJAYA, 4 Nov (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak pernah menghantar sebarang pautan kepada pembayar cukai berkaitan status bayaran balik melalui portal MyTax, menurut agensi pentadbir cukai itu.

Dalam kenyataan hari ini LHDN memaklumkan bahawa tiada sebarang pemberitahuan menggunakan portal itu boleh dilakukan tanpa kebenaran, malah pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang terlibat, mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“LHDN ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita atau maklumat palsu yang boleh mengelirukan orang ramai. 

“Sebarang penyebaran berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM),” menurut kenyataan itu.

LHDN berkata pihaknya memandang serius isu berkenaan dan meletakkannya sebagai keutamaan tertinggi dalam usaha meningkatkan keyakinan, serta kepercayaan pembayar cukai terhadap perkhidmatan yang diberikan oleh LHDN dalam urusan pentadbiran percukaian. 

“LHDN akan terus berusaha menambah baik mutu perkhidmatan dan bertindak secara proaktif bagi menangani isu ini,” menurut kenyataan itu.

Agensi pentadbir cukai itu turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan sebarang bentuk e-mel, pautan dan teks melalui aplikasi WhatsApp yang mencurigakan, dan menasihatkan supaya membuat semakan dibuat melalui beberapa saluran rasmi LHDN iaitu www.hasil.gov.my; https://mytax.hasil.gov.my ; menghubungi talian 03- 8911 1000 atau berkunjung ke mana-mana pejabat LHDN berhampiran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan